Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

Usaha Bersama Santuni Calon SPM, Masjid Jadi Hab Pendidikan Komuniti

Spark SPM 2026 memasuki tahun ketiga, menghimpunkan sokongan USM, Masjid Jamek Sungai Gelugor, Kelab Gelugor dan KOBENA untuk membantu lebih 40 pelajar menghadapi peperiksaan

PULAU PINANG · 17 November 2026

Kesediaan lima guru pakar meluangkan hari Ahad untuk membimbing calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disokong kerjasama universiti dan pertubuhan setempat, menjadi kekuatan Spark SPM 2026 yang berlangsung sehari suntuk di Bangunan Tambahan Masjid Jamek Sungai Gelugor (MJSG) pada 15 November lalu.

Memasuki tahun ketiga pelaksanaannya, program di bawah inisiatif 1 Pemimpin, 1 Kampung Universiti Sains Malaysia (USM) itu menghimpunkan lebih 40 calon SPM untuk mendapatkan bimbingan akhir peperiksaan dalam suasana pembelajaran yang mesra dan dekat dengan komuniti.

Usaha bersama MJSG, USM, Kelab Gelugor dan KOBENA ini melibatkan pelajar daripada sekolah sekitar kampus yang manfaatnya turut menjangkau keluarga di Sg. Gelugor, Taman Sardon, Sungai Nibong serta Kampung Melayu, Air Itam.

Program sehari penuh tersebut memberikan tumpuan kepada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, dengan panduan memahami kehendak soalan, mengukuhkan konsep, mengelakkan kesilapan lazim serta mengurus masa ketika menjawab soalan peperiksaan SPM 2026.

Rata-rata peserta menyatakan kegembiraan terhadap panduan akhir yang diterima serta layanan mesra sepanjang program. Bimbingan tersebut membantu mereka mengenal pasti perkara yang perlu diberikan perhatian dalam baki masa sebelum peperiksaan, manakala layanan pihak penganjur mewujudkan suasana yang selesa untuk belajar. Program ini juga adalah percuma sepenuhnya yang melibatkan jamuan makan, hadiah serta peralatan peperiksaan.

Penyelaras program, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, yang juga Pensyarah Kehormat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan Felo Kanan Penyelidikan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM merangkap Penasihat Pendidikan MJSG, memaklumkan bahawa kesinambungan program selama tiga tahun didukung oleh kerjasama erat pelbagai pihak.

Menurut beliau, pelaksanaan tahun ini menerima sokongan MJSG, Kelab Gelugor dan KOBENA di samping USM, melalui sumbangan serta bantuan yang membolehkan keperluan pembelajaran dan kebajikan peserta diberikan perhatian bersama.

Penghargaan khusus turut dirakamkan kepada lima guru pakar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah yang secara sukarela meluangkan masa pada hari Ahad untuk membimbing peserta. Kesudian mereka berkongsi ilmu, pengalaman dan strategi menjawab memberikan sokongan bermakna kepada calon dalam memantapkan persediaan menghadapi SPM.

Dr. Ainuddin Bahari, yang mewakili Kelab Gelugor dan KOBENA, turut menyampaikan sesi motivasi bagi menyuntik semangat peserta. Beliau menggalakkan calon menetapkan matlamat dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, dengan menjadikan SPM sebagai langkah penting untuk membuka peluang pendidikan serta membina masa hadapan yang lebih bermakna.

Pengerusi MJSG, Tuan Haji Sazali Ahmad, pula menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan peranan masjid sebagai hab pendidikan komuniti. Kerjasama dengan universiti, guru dan pertubuhan setempat membolehkan masjid menyediakan ruang yang menyokong pembelajaran serta pembangunan generasi muda.

Beliau mengingatkan anak muda agar belajar bersungguh-sungguh dan meminta mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada program yang berlangsung kerana ramai pihak yang telah bersusah-payah secara sukarela menyumbang wang ringgit dan tenaga. Sazali juga turut memuji jawatan kuasa MJSG kerana telah turun padang beramai-ramai bergotong royong menyediakan juadah kepada para pelajar dan guru serta menyatakan penghargaan kepada USM, Kelab Gelugor, KOBENA dan guru sekalian.

Sebagai panduan susulan, Kit Spark SPM 2026 yang disediakan oleh penyelaras menghimpunkan bahan berkaitan ulang kaji, pengurusan masa, kesejahteraan diri dan perancangan hala tuju selepas SPM. Bahan ini boleh terus dirujuk oleh peserta untuk menyusun persediaan mengikut keperluan masing-masing. Di samping itu, guru-guru pakar yang terlibat turut memberikan nota tips dan panduan sebagai rujukan akhir menjelang SPM 2026.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyatakan bahawa kesinambungan program ini untuk tahun ketiga menunjukkan kekuatan usaha bersama universiti dan komuniti dalam menyokong pendidikan anak-anak setempat. Sumbangan guru, jawatankuasa masjid dan rakan kerjasama strategik menjadikan sokongan itu nyata melalui bimbingan dan perhatian yang diterima oleh pelajar.

“USM menghargai kesediaan semua pihak untuk berkongsi masa, ilmu dan sumber. Hubungan seperti inilah yang perlu terus dipelihara supaya lebih ramai anak muda mendapat peluang untuk berjaya dalam peperiksaan dan meneruskan pendidikan mereka.” ujar beliau.

Melalui Spark SPM 2026, guru, universiti, masjid dan rakan komuniti berganding bahu menyediakan pelan sokongan pada saat penting dalam perjalanan pendidikan peserta. Kerjasama yang berterusan ini turut mendekatkan pelajar dengan aspirasi pengajian tinggi, bermula daripada sokongan yang tersedia dalam komuniti mereka sendiri.

Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM
Gambar: Jawatankuasa Masjid Jamek Sungai Gelugor (MJSG)