‘URBAN OASIS’ CIPTA IMPAK KELESTARIAN: PELAJAR HBP-USM RANGKUL DUA ANUGERAH KEBANGSAAN
Kehebatan idea berteraskan kelestarian yang diketengahkan oleh sekumpulan pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya memukau panel juri apabila mereka merangkul dua pengiktirafan berprestij, iaitu “Sustainability Award” serta Tempat Ketiga Keseluruhan dalam Vertical School Competition 2026 anjuran Malaysian Architecture Student Alliance (MASA) yang berlangsung di Sunway Square Mall, Sunway University.
Kejayaan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,200.
Pertandingan yang menghimpunkan penyertaan daripada 20 universiti dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara itu menyaksikan persaingan sengit antara institusi-institusi terbaik Malaysia.
Justeru, pencapaian cemerlang ini bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar HBP-USM menghasilkan idea reka bentuk yang inovatif dan berimpak tinggi, malah mengukuhkan lagi reputasi USM sebagai peneraju dalam melahirkan graduan daripada program seni bina yang kreatif, kompetitif, dan komited terhadap agenda kelestarian negara.
Pasukan yang terdiri daripada Lo Zi Xian, Lim Qi Yuan, Nur Aqilah Aniyah, dan Nurul Iman Izwani itu berjaya menambat hati panel juri menerusi cadangan projek bertajuk ‘Urban Oasis,’ sebuah konsep sekolah menegak (‘vertical school’) yang mengetengahkan pendekatan pendidikan berasaskan alam semula jadi dan prinsip pembangunan mampan dalam persekitaran bandar yang padat.
Di bawah penyeliaan Dr. Hazril Sherney Basher, projek tersebut menawarkan pendekatan inovatif dalam mereka bentuk ruang pembelajaran dengan menjadikan hutan hujan tropika Malaysia sebagai inspirasi utama. Konsep ini bukan sekadar menampilkan elemen hijau sebagai komponen estetik, malah mengintegrasikan alam semula jadi secara menyeluruh ke dalam pengalaman pembelajaran harian pelajar.
Melalui ‘Urban Oasis,’ bangunan sekolah dibangunkan sebagai sebuah ekosistem hidup yang menyokong perkembangan fizikal, kognitif, sosial, dan emosi murid. Perjalanan pembelajaran dibahagikan kepada empat fasa perkembangan iaitu Discovery, Exploration, Independence, dan Future Vision, yang disusun mengikut inspirasi lapisan hutan hujan tropika. Setiap ruang direka untuk merangsang rasa ingin tahu, kreativiti, kolaborasi, pemikiran kritis, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Keunikan projek ini turut terserlah melalui penggunaan pelbagai strategi reka bentuk lestari seperti ruang hijau berpusat (‘central green void’), teres pembelajaran terbuka, bilik darjah fleksibel, pencahayaan semula jadi, pengudaraan pasif, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta ruang komuniti yang menghubungkan sekolah dengan masyarakat setempat. Pendekatan ini menjadikan bangunan bukan sekadar tempat menuntut ilmu, malah berfungsi sebagai "guru" yang mendidik generasi muda untuk menghargai alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup lestari.
Kejayaan ini juga seiring dengan aspirasi USM yang amat menitikberatkan penglibatan pelajar dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai medium memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, sentiasa menegaskan bahawa penguasaan ilmu perlu diterjemahkan melalui penyertaan aktif dalam platform yang mampu menguji kreativiti, daya inovasi, dan keupayaan menyelesaikan cabaran sebenar masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa agenda kelestarian perlu diterapkan secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan tinggi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menjadi agen perubahan ke arah pembangunan mampan.
Justeru, pertandingan berteraskan kelestarian seperti Vertical School Competition 2026 bukan sahaja menjadi pentas untuk pelajar menyerlahkan bakat dan kompetensi profesional, malah menyokong hasrat USM melahirkan pemimpin masa hadapan yang mampu memacu pembangunan mampan di peringkat nasional dan global.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian HBP, Profesor Madya Sr Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin, pula menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa pelajar HBP mampu bersaing di peringkat kebangsaan walaupun masih berada pada tahun pertama pengajian.
Katanya, "Kemenangan ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak bergantung kepada tempoh pengalaman, tetapi kepada keberanian untuk berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif. Saya amat berbangga kerana pelajar-pelajar HBP berjaya mengangkat nilai kelestarian sebagai teras penyelesaian kepada cabaran pendidikan dan pembangunan bandar masa hadapan. Ini selaras dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX yang sentiasa mendukung agenda pembangunan mampan serta melahirkan graduan yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan dunia."
Menurut beliau lagi, penyertaan dalam pertandingan reka bentuk seperti ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal dan kreativiti pelajar, malah meningkatkan keyakinan diri, kebolehan menyelesaikan masalah kompleks serta membentuk pemikiran profesional yang amat diperlukan dalam dunia seni bina yang semakin mencabar.
Kejayaan ini sekali lagi memperkukuhkan reputasi HBP-USM sebagai institusi yang komited melahirkan arkitek masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek reka bentuk, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk terus berani meneroka idea baharu, menghasilkan penyelesaian inovatif, dan menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih lestari demi generasi akan datang.