Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

UMK TINJAU AMALAN TERBAIK ODL DI USM

USM PULAU PINANG · 20 Ogos 2026

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meninjau amalan terbaik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pelaksanaan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta jaminan kualiti akademik menerusi kunjungan delegasinya ke Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), di sini hari ini.

Kunjungan itu menjadi platform strategik bagi kedua-dua institusi untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kepakaran, khususnya dalam aspek pengurusan kualiti akademik, pelaksanaan ODL serta pengurusan pendidikan jarak jauh.

Delegasi UMK diketuai Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti Universiti (PPQ), Profesor Madya Dr. Norrimi Rosaida Awang, bersama Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Akademik PPQ, Dr. Mohamad Shahfik Afendi Abdul Ghani serta Ketua Bahagian Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh, Ts. Dr. Teo Pao Ter.

Delegasi berkenaan diraikan oleh Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor; Timbalan Dekan Sokongan dan Teknologi, Dr. Chua Hang Kuen; serta Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab.

Zulnaidi berkata, kunjungan itu bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua institusi, malah memberi peluang untuk membincangkan pendekatan dan strategi dalam memastikan pelaksanaan ODL terus memenuhi tuntutan serta keperluan semasa pendidikan tinggi.

“Perkongsian pengalaman dan kepakaran seperti ini amat penting kerana pelaksanaan pendidikan terbuka dan jarak jauh memerlukan pendekatan yang sentiasa responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan pembelajaran.

“Melalui sesi perbincangan dan pertukaran pandangan ini, kita dapat mempelajari pendekatan antara satu sama lain, khususnya dalam aspek jaminan kualiti akademik, sekali gus mengenal pasti potensi kerjasama yang boleh diterokai pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, PPPJJ USM turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan delegasi UMK dan berharap hubungan yang terjalin dapat terus diperkukuh menerusi perkongsian ilmu, kepakaran serta pelaksanaan inisiatif kolaboratif pada masa hadapan.

“Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh kualiti pendidikan tinggi dan memperkasakan pelaksanaan ODL sebagai pendekatan pendidikan yang relevan, fleksibel serta responsif terhadap keperluan pembelajaran masa kini dan masa hadapan,” ujar beliau lanjut.

Perbincangan turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai pendekatan, cabaran dan strategi dalam memastikan pelaksanaan ODL kekal berkualiti, fleksibel dan memenuhi keperluan pelajar.

Selain perkongsian pengalaman dan kepakaran, kunjungan berkenaan turut membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama dan jaringan strategik antara UMK dan USM dalam bidang pendidikan jarak jauh, jaminan kualiti akademik serta pembangunan pendidikan berasaskan teknologi.

Teks: Mohd Rashid Abdul Rejab, PPPJJ USM
Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, PPPJJ USM