Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

UK FIT 2.0 2026 GALAK GAYA HIDUP SIHAT, PERKUKUH KESEJAHTERAAN WARGA USM

USM, PULAU PINANG · 3 November 2026

Program UK FIT 2.0 2026 anjuran Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi antara acara utama Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat USM dengan menghimpunkan warga universiti dalam aktiviti fizikal yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kesejahteraan emosi serta memupuk semangat kebersamaan.

Program yang berlangsung di Kompleks Cahaya Siswa USM pada 31 Oktober lalu itu berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta terdiri daripada warga universiti, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap usaha membudayakan gaya hidup sihat dan kesejahteraan diri dalam komuniti kampus.

Lebih menceriakan suasana, laluan UK FIT 2.0 2026 turut menampilkan beberapa hentian yang menyediakan makanan dan minuman kepada peserta, menjadikan aktiviti berjalan kaki itu lebih interaktif, santai, dan menyeronokkan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, dalam ucapan perasmian penutup berkata aktiviti fizikal merupakan antara kaedah berkesan untuk membantu mengurangkan tekanan, memberi ruang kepada minda untuk berehat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri.

“Dalam kesibukan mengejar tugasan, menghadiri kuliah, dan memenuhi tanggungjawab pekerjaan, kita kadang kala terlupa bahawa tubuh dan minda juga memerlukan perhatian,” katanya. Menurut beliau, keseimbangan antara tuntutan akademik, kerjaya, dan penjagaan kesihatan diri perlu diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan yang berterusan.

Penganjuran UK FIT 2.0 2026 turut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, khususnya melalui usaha membudayakan kehidupan aktif, memperkukuh kesejahteraan emosi, dan mewujudkan persekitaran kampus yang lebih sihat.

Turut hadir Ketua Unit Kaunseling BHEPA USM, Raja Salwati Raja Othman; Ketua Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling BHEPA USM merangkap Ketua Penyelaras, Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat BHEPA, Ahmad Anwar Omar; serta Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM merangkap Penyelaras Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan, Mohammad Zafran Mohd Rafa’ai.

Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM