Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

TUJUH PENYELIDIK USM BENTANG HASIL KAJIAN GENOMIK DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA

PULAU PINANG · 26 Ogos 2026

USM PULAU PINANG, 26 Ogos 2026 - Tujuh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) daripada Kluster Penyelidikan Genomic & Life Sciences (GLS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), mengukuhkan keterlihatan penyelidikan universiti itu di pentas antarabangsa menerusi pembentangan hasil kajian pada Human Genome Meeting (HGM) 2026 di Athens, Greece, baru-baru ini.

Penyertaan pada persidangan yang berlangsung di Zappeion Aigli itu turut menyaksikan dua penyelidik USM menerima Travel Grant for Human Genome Meeting 2026 berjumlah USD2,400, masing-masing Dr. Ruzanaz Syafira Ruzman Azlee dan Dr. Siti Nazihahasma Hassan.

HGM 2026 bertemakan “Bringing our Genomes to Medicine” menghimpunkan pakar genetik, pakar perubatan, saintis serta penyelidik awal kerjaya dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan terkini dalam genomik manusia, perubatan jitu dan intervensi terapeutik.

Seorang penyelidik USM membentangkan hasil penyelidikan secara oral, manakala enam lagi membentangkannya dalam bentuk poster, meliputi bidang genetik klinikal, genomik kanser, penyakit kongenital serta teknologi Next Generation Sequencing.

Delegasi USM terdiri daripada Profesor Madya Dr. Sarina Sulong dari Jabatan Genetik Perubatan, PPSP; Profesor Madya Ts. Dr. Azlina Ahmad dari Pusat Pengajian Sains Pergigian; Dr. Farizan Ahmad dari Jabatan Neurosains, PPSP serta Dr. Nurul Syazana Mohamad Syah dari Jabatan Surgeri Plastik dan Sains Rekonstruktif.

Turut serta ialah Dr. Siti Nazihahasma Hassan, Felo Pasca Doktoral, Jabatan Neurosains, PPSP; Dr. Ruzanaz Syafira Ruzman Azlee, Pelajar Sarjana Patologi (Genetik Perubatan), Jabatan Genetik Perubatan, PPSP; dan Dr. Nurul Aain Ahmad Fauzi, Pelajar Sarjana Patologi (Genetik Perubatan), Jabatan Genetik Perubatan, PPSP.

Kesemua delegasi turut menyertai Pre-day Trainee Symposium yang menyediakan platform pembelajaran, perkongsian ilmu serta jaringan profesional kepada pelajar dan penyelidik muda.

Penyertaan USM turut disokong dengan kehadiran Pensyarah FSRS dari Jabatan Perubatan Genetik, Profesor Dr. Zilfalil Alwi, yang juga merupakan ahli jawatankuasa persidangan berkenaan.

Kepelbagaian penyelidikan yang dibentangkan mencerminkan kekuatan Kluster GLS yang menghimpunkan kepakaran multidisiplin dalam genomik, biologi molekul dan sains hayat, selain memperkukuh usaha universiti dalam memajukan genomik translasi, perubatan jitu serta pendekatan diagnosis dan rawatan berasaskan profil genetik individu.

Penyertaan di HGM 2026 turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan antarabangsa, peluang kolaborasi penyelidikan baharu serta pembangunan bakat penyelidik dalam bidang genomik dan sains hayat di peringkat global.

Teks: Dr. Farizan Ahmad
Foto: Prof. Madya Dr. Sarina Sulong