Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

TOT SULAM USM 2026 PERKASA WARGA AKADEMIK DALAM PELAKSANAAN SULAM

PULAU PINANG · 19 Ogos 2026

PULAU PINANG, 19 OGOS 2026 – Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menganjurkan Bengkel Training of Trainers (TOT) Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Balai Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM.

Bengkel ini menjadi platform dalam usaha memperkukuh pemahaman warga akademik berkenaan konsep dan pelaksanaan SULAM dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, program ini juga membolehkan peserta berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan yang lebih berkesan dalam merancang dan melaksanakan projek SULAM.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad. Beliau berkata bahawa SULAM bukan sekadar suatu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran, malah berperanan sebagai penghubung ilmu akademik, mahasiswa dan masyarakat dalam menangani isu serta memenuhi keperluan sebenar komuniti.

Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), USM, merangkap Penyelaras SULAM USM, Dr. Noor Alyani Nor Azazi kemudiannya mengupas perjalanan, perkembangan dan pencapaian SULAM di USM sehingga tahun 2026 semasa sesi “SULAM@USM” berlangsung. Pelaksanaan SULAM pada peringkat awal hanya melibatkan beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan program pengajian. Kini, SULAM semakin meluas dan telah merentasi pelbagai bidang akademik, sekali gus mencerminkan komitmen warga USM terhadap pembelajaran berasaskan khidmat komuniti.

Seiring dengan perkembangan tersebut, Dana SULAM yang pada awalnya diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan projek pada peringkat universiti telah diperkasakan dan distrukturkan semula sebagai Geran SULAM USM mulai Semester II Sidang Akademik 2025/2026.

Ahli Strategik SULAM USM, Prof. Madya Dr. Oh Wen Da, menyampaikan taklimat berkaitan Geran SULAM USM yang menerangkan panduan permohonan, kriteria penilaian serta perkara penting dalam merancang projek yang berimpak tinggi dan memenuhi keperluan komuniti. Abdul Mu’izz Abd Aziz, wakil Jabatan Bendahari USM, pula memberikan penerangan mengenai pengurusan kewangan geran, termasuk tatacara pengurusan peruntukan dan perbelanjaan serta pematuhan terhadap peraturan kewangan universiti.

Program ini turut menampilkan Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Prof. Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak yang membentangkan sesi “COMPASSION@SULAM”. Inisiatif kolaboratif antara BJIM dengan PRK ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pembelajaran berasaskan khidmat komuniti dengan agenda jaringan dan penglibatan masyarakat USM. Ahli Jawatankuasa Strategik SULAM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hamidah Idris dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), turut berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dalam pelaksanaan SULAM, termasuk aspek pengukuran impak serta peluang pengiktirafan terhadap hasil pelaksanaannya.

Bengkel ini berjaya menghimpunkan lebih 78 peserta dari 24 Pusat Pengajian di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Kampus Kesihatan. Peserta terdiri daripada Timbalan Dekan Akademik, Antarabangsa dan Kerjaya; penyelaras SULAM di peringkat PTJ serta pensyarah yang terlibat atau berminat untuk melaksanakan SULAM melalui kursus masing-masing.

Pengarah PRK, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, semasa ucapan penutup menyampaikan harapan beliau agar segala maklumat dan panduan yang telah dikongsi melalui bengkel ini dapat meningkatkan kefahaman serta menyuntik semangat peserta untuk bersama-sama memperkukuh pelaksanaan SULAM di USM.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkasa pelaksanaan SULAM secara lebih sistematik, berkesan dan berterusan, sekali gus memberikan impak yang bermakna kepada mahasiswa, universiti dan komuniti.

Turut hadir ialah Mohd Amirullah Zainal Abidin dari Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA), USM.

Teks: Syuhada Omar
Suntingan: Dr. Noor Alyani Nor Azazi
Foto: Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), USM