Skip to main content

TIGA PENYELIDIK USM TERIMA PENGIKTIRAFAN DI MYIIC 2026

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 12 November 2026

PULAU PINANG, 12 November 2026 – Tiga penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengharumkan nama universiti apabila menerima pengiktirafan sempena The 3rd Malaysia Inventors & Innovators Convention (MYIIC) 2026 yang berlangsung di Royal Lake Club, Kuala Lumpur, pada 7 November 2026.

Tiga penyelidik yang menerima pengiktirafan tersebut ialah:

  • Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
  • Profesor Madya Dr. Tan Joo Shun, Pusat Pengajian Teknologi Industri.
  • Profesor Madya Dr. Hasber Salim, Pusat Pengajian Sains Kajihayat.

Konvensyen anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) itu mengetengahkan tema “Transforming Ideas into Impact: Bridging Research, Intellectual Property, Industry and Society through Sustainable Innovation and Commercialisation”, yang menekankan kepentingan menghubungkan penyelidikan, harta intelek, industri, dan masyarakat melalui inovasi lestari serta pengkomersialan.

Antara pengisian utama konvensyen tersebut ialah MYIIC IP Awards yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang penciptaan dan inovasi, sekali gus menghargai sumbangan rakyat Malaysia dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Konvensyen itu turut menampilkan pameran teknologi, produk, dan perkhidmatan oleh rakan kerjasama serta penaja, selain sesi pameran poster yang menjadi platform kepada penyelidik, pelajar, dan inovator untuk mengetengahkan hasil kerja terkini, mendapatkan penilaian pakar serta membina jaringan profesional.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan (PIP) USM, Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin, pengiktirafan yang diterima oleh ketiga-tiga penyelidik tersebut mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam menterjemahkan kepakaran serta hasil penyelidikan kepada penyelesaian yang berpotensi memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.

“Pengiktirafan seumpama ini merupakan dorongan kepada para penyelidik untuk terus menghasilkan inovasi yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik, malah berpotensi untuk dimanfaatkan melalui pemindahan teknologi dan pengkomersialan.

“Usaha penyelidikan dan inovasi juga perlu disusuli dengan langkah untuk memastikan hasilnya dapat dimanfaatkan di luar persekitaran akademik. USM akan terus menggalakkan penyelidik mengenal pasti potensi aplikasi hasil penyelidikan, memperkukuh perlindungan harta intelek serta meneroka peluang kerjasama dengan industri bagi meningkatkan impak inovasi kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai penyelidik USM untuk mengetengahkan hasil penyelidikan masing-masing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem inovasi dan pengkomersialan teknologi yang lebih dinamik.

Seluruh warga USM mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga penyelidik atas pencapaian membanggakan ini!

Teks: Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
Poster: Pusat Inovasi dan Perundingan (PIP) USM