Skip to main content

TEROKA ALAM SEMESTA MELALUI SAINS DAN TEKNOLOGI, MAHASISWA USM SERTAI EKSPEDISI ILMU DI TECH DOME

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 11 November 2026
 

 

Seramai 20 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang mendalami bidang sains dan teknologi menerusi program Field Trip: Exploring Universe Through Science and Technology anjuran Persatuan Sains Fizik (PSF) USM di Tech Dome, Penang baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Exco Astronomi PSF USM pada 7 November itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai bidang astronomi serta hubungan antara sains dan teknologi dalam penerokaan alam semesta melalui pengalaman pembelajaran interaktif di luar bilik kuliah.

Diketuai oleh Nur Alia Anas Anal selaku Pengarah Projek, program tersebut melibatkan penyertaan 20 peserta bersama 10 ahli jawatankuasa PSF USM serta diiringi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr. Idahwati Sarudin.

Antara pengisian utama program ialah sesi pemerhatian Matahari di balai cerap Tech Dome yang dikendalikan oleh mantan Profesor Madya Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr. Chong Hon Yew. Melalui sesi tersebut, peserta didedahkan kepada penggunaan teleskop Lunt Solar Telescope dan Sky-Watcher Evostar selain berpeluang memerhati kumpulan tompok Matahari (sunspots) serta aktiviti yang berlaku pada permukaannya.

Dr. Chong, yang juga Ahli Astronomical Society of Penang, menggalakkan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti astronomi secara lebih aktif bagi memperluaskan pengetahuan serta meningkatkan kemahiran penggunaan teleskop melalui pengalaman praktikal.

“Jangan lepaskan peluang untuk menyertai aktiviti astronomi dan belajar menggunakan teleskop. Melalui penglibatan secara langsung, anda berpeluang meneroka bidang astronomi dengan lebih mendalam,” katanya.

Program turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Dr. Idahwati yang mempunyai kepakaran dalam bidang geofizik, astronomi, dan sains angkasa. Beliau menjelaskan hubungan rapat antara fizik dan astronomi dengan kehidupan seharian serta pelbagai disiplin ilmu lain, selain berkongsi mengenai penyelidikan fizik solar (solar physics), cuaca angkasa (space weather), dan Kitaran Matahari ke-25 (Solar Cycle 25), termasuk fenomena ribut solar serta aktiviti pada permukaan Matahari.

“Bidang astronomi sebenarnya mempunyai hubungan dengan pelbagai bidang ilmu yang lain. Oleh itu, astronomi merupakan satu bidang yang boleh diterokai oleh mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian,” katanya.

Sepanjang lawatan, peserta turut meneroka lebih 100 pameran dan tarikan interaktif di Tech Dome, termasuk Sensor, Laser Room, Plasma Tube, dan Robot Arm yang memberi peluang kepada mereka memahami aplikasi sains dan teknologi secara lebih dekat. Antara tarikan yang mendapat perhatian ialah G-Drop yang mengetengahkan konsep gerakan dan graviti, selain Wall Climb yang mengaplikasikan prinsip biomekanik dalam aktiviti fizikal.

Program turut menampilkan cabaran berkumpulan menerusi permainan interaktif dan aktiviti penerokaan pameran yang menguji pengetahuan, pemikiran kritis, dan semangat kerjasama peserta, dengan hadiah disampaikan kepada kumpulan yang memperoleh markah tertinggi.

Sementara itu, Nur Alia berkata program berkenaan diharap mampu menyemai rasa ingin tahu dalam kalangan mahasiswa terhadap bidang sains, astronomi, dan teknologi serta menggalakkan mereka untuk terus meneroka ilmu baharu.

“Jangan takut untuk memilih sesuatu yang berbeza daripada orang lain. Teruskan rasa ingin tahu, teruskan belajar, dan jangan berhenti meneroka perkara baharu,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut juga diharap dapat memperkukuh usaha memperkenalkan bidang astronomi kepada mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan kreatif, sekali gus memupuk budaya penerokaan ilmu dalam kalangan warga universiti.

Teks: Nur Anis Alimi, Intern@MPRC, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Persatuan Sains Fizik USM