Skip to main content

TEKNOLOGI DAN NILAI KEMANUSIAAN PERLU SEIRING HADAPI CABARAN MASA DEPAN, KATA PRO-CANSELOR USM

USM PULAU PINANG, 27 November 2026 – Graduan perlu memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan bagi membolehkan mereka berdepan cabaran masa depan secara lebih bertanggungjawab dan berkesan, kata Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Academician Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Beliau berkata perkembangan pesat teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), membuka peluang besar dalam penghasilan ilmu dan inovasi, namun turut menimbulkan cabaran berkaitan etika, keselamatan data, penyebaran maklumat palsu serta perubahan landskap pekerjaan.

“Justeru, graduan perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan kemahiran teknologi, tetapi juga pemikiran kritis, kreativiti, dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya ketika mempengerusikan Sidang Ketujuh Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM, di sini hari ini.

Pada sidang itu, seramai 631 graduan menerima ijazah masing-masing, terdiri daripada 288 graduan Ilmu Kemanusiaan dan 343 graduan Sains Komputer.

Menurut Ahmad Tajuddin, transformasi digital kini menjadi antara agenda utama pembangunan negara, termasuk menerusi penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan bagi memperkukuh pembangunan serta tadbir urus AI secara bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi tidak harus dinilai semata-mata berdasarkan kecanggihan sistem, sebaliknya pada manfaat yang dapat disumbangkan kepada masyarakat.

“Perkembangan teknologi perlu diseimbangkan dengan kefahaman terhadap manusia dan masyarakat. Dunia masih memerlukan individu yang bukan sahaja mampu menghasilkan inovasi, tetapi juga menilai kesannya terhadap kehidupan, budaya, dan kesejahteraan manusia,” katanya.

Beliau berkata sebagai universiti penyelidikan berteraskan kelestarian, USM terus memperkasa transformasi institusi ke arah kecemerlangan bertaraf dunia melalui komitmen berterusan terhadap akademik, penyelidikan, inovasi, dan kelestarian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penyelidikan rentas disiplin semakin penting dalam usaha menangani pelbagai cabaran global yang kompleks dan saling berkait.

Katanya, graduan Ilmu Kemanusiaan dan Sains Komputer mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam aspek literasi digital, analisis maklumat, pemeliharaan warisan serta pembangunan teknologi yang berpusatkan manusia.

Graduan Sains Komputer, katanya, memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan perisian, analisis data, keselamatan siber, kecerdasan buatan, dan transformasi digital yang amat diperlukan untuk memacu inovasi serta daya saing negara.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka perlu membangunkan penyelesaian teknologi yang bukan sahaja cekap dan inovatif, malah berteraskan integriti, keselamatan, dan tanggungjawab sosial.

Bagi graduan Ilmu Kemanusiaan pula, Ahmad Tajuddin berkata penguasaan bidang seperti bahasa, sejarah, falsafah, kesusasteraan, dan budaya dapat membantu masyarakat memahami implikasi perkembangan teknologi dengan lebih mendalam serta membuat pertimbangan berasaskan nilai kemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa konvokesyen bukan noktah kepada perjalanan ilmu, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam kehidupan dan kerjaya.

“Teruskan menimba ilmu, mempertingkat kemahiran, dan menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa mengabaikan integriti serta nilai kemanusiaan.

“Kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada kehebatan inovasi, tetapi sejauh mana ilmu dan teknologi mampu memartabatkan nilai kemanusiaan serta menyumbang kepada pembinaan peradaban yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menasihati graduan agar sentiasa mengenang dan menghargai pengorbanan ibu bapa, pasangan, anak-anak serta keluarga yang menjadi sumber sokongan sepanjang perjalanan akademik mereka.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, ahli-ahli Senat USM, pengurusan tertinggi universiti serta para jemputan.

Pada sidang tersebut, nama graduan Ilmu Kemanusiaan dibacakan oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, sementara nama graduan Sains Komputer dibacakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Nazmee Wan Zainon.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Mohd Fairus Md Isa, Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq & Shahnizam Ab Rahim
Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab