Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

TALENTBANK GRADUATES’ CHOICE AWARD 2026: USM RAI MAJIKAN PILIHAN MAHASISWA, PERKUKUH JARINGAN INDUSTRI

PULAU PINANG · 16 November 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan strategik dengan industri apabila diberi penghormatan menyampaikan anugerah kepada majikan pilihan mahasiswa sempena Talentbank Graduates’ Choice Award (GCA) 2026, yang berlangsung di Sunway Resort Hotel pada Jumaat lalu.

USM diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang bertindak sebagai penyampai anugerah pada majlis berkenaan.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan, dan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Talentbank dan KPT bagi memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Anugerah anjuran Talentbank tersebut mengiktiraf organisasi yang menjadi pilihan mahasiswa untuk memulakan kerjaya, dengan keputusan ditentukan sepenuhnya menerusi undian pelajar universiti di seluruh negara.

Pengiktirafan itu mencerminkan daya tarikan sesebuah organisasi sebagai majikan pilihan serta memberi gambaran terhadap aspirasi generasi muda dalam memilih laluan kerjaya.

Antara organisasi yang tersenarai dalam kelompok Top 1% Majikan Pilihan Mahasiswa 2026 ialah Maybank, PETRONAS, Shopee Malaysia, EY, CIMB, KPMG in Malaysia, Maxis, dan Huawei Malaysia.

Senarai penerima pengiktirafan turut merangkumi pelbagai sektor utama termasuk perbankan, perkhidmatan profesional, teknologi, kejuruteraan, pembuatan, dan telekomunikasi.

Bagi bidang berkaitan kejuruteraan, penerima pengiktirafan termasuk PETRONAS dan SLB bagi kategori Kejuruteraan, Western Digital bagi kategori Elektronik, serta Western Digital dan Infineon bagi kategori Semikonduktor.

Turut hadir mewakili USM ialah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar; Ketua Unit BHEPA Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar; serta mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Azfar Al Hafiz Azman.

Penglibatan USM dalam majlis berkenaan membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dengan pemain industri selain meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan bakat, latihan industri, dan penempatan pekerjaan graduan.

Hubungan erat antara universiti dan majikan dilihat sebagai faktor penting dalam memastikan persediaan kerjaya mahasiswa sentiasa relevan serta sejajar dengan keperluan semasa industri.

Inisiatif itu turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pengukuhan kemahiran dan persediaan kerjaya mahasiswa; SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi melalui peluasan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti; serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat menerusi kerjasama antara universiti, kerajaan, dan industri dalam menyokong kebolehpasaran graduan.

Teks dan Foto: Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar, Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM
Suntingan: Tan Ewe Hoe