Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

SME INNOVATION DAY 2026: USM LANCAR PLATFORM AI, PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI BERNILAI RM1.2 JUTA

PULAU PINANG · 6 Ogos 2026

Lebih 150 wakil perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta pakar Universiti Sains Malaysia (USM) berhimpun dalam SME Innovation Day 2026, sebuah inisiatif di bawah Program Sinergi USM-SME anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM yang menjadi platform memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri dalam memacu inovasi, pendigitalan dan pembangunan teknologi setempat.

Program ini memberi tumpuan kepada pelbagai bidang strategik termasuk digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data, automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi produk, harta intelek, pengkomersialan serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan dan daya saing perusahaan.

Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Ts Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil selaku Pengarah Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, beliau menegaskan bahawa sinergi antara universiti dan industri merupakan pemangkin penting dalam mempercepat pemindahan teknologi, melahirkan inovasi bernilai tinggi serta memperkukuh ekosistem inovasi negara.

“Jalinkanlah kerjasama yang mampan dan bermakna dengan syarikat yang ada bersama kita pada hari ini, bersama-sama membina rantaian ekosistem ekonomi yang berdaya saing untuk hari esok,” ujar beliau.

Menurut beliau juga, keberkesanan jalinan kerjasama ini dibuktikan melalui pemeteraian 9 Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari ini sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara USM dan rakan industri.

SME Innovation Day 2026 turut menyaksikan dua pengumuman utama, iaitu pelancaran Enterprise Innovation Platform (EIP) berkuasa AI serta pencapaian RM1.2 juta nilai projek dan kerjasama melalui Kluster SME USM.

Platform EIP dibangunkan bagi mempercepat proses pemadanan antara keperluan industri dengan kepakaran, teknologi dan kemudahan penyelidikan yang dimiliki USM sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi antara pakar dari USM, pihak SME dan rakan strategik industri.

Selain itu, pencapaian projek bernilai RM1.2 juta membuktikan keberkesanan kerjasama USM bersama industri melalui pelbagai inisiatif seperti penyelidikan kontrak, pembangunan teknologi, latihan profesional, digitalisasi dan automasi yang dijangka memberi impak positif kepada produktiviti, inovasi dan daya saing perusahaan di peringkat nasional serta antarabangsa.

Teks & Foto: Amar Danial Azmi & Zahidah Zulkepli (Intern @ MPRC, USM)