SME INNOVATION DAY 2026: PLATFORM EIP BERKUASA AI PERKUKUH JAMBATAN KERJASAMA USM DAN SME
PULAU PINANG, 6 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (SME) menerusi penganjuran SME Innovation Day 2026 yang menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan industri melalui pemadanan kepakaran, teknologi dan inovasi.
Menurut Ketua Kluster SME, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, merangkap Pengarah Projek SME Innovation Day 2026, Dr. Jeffrey Cheah Sau Seng, matlamat utama program tersebut adalah merapatkan jurang yang telah lama wujud antara sektor akademik dan industri untuk membantu SME mendapatkan akses kepada kepakaran yang diperlukan.
Beliau berkata bahawa USM mempunyai ramai pakar, kemudahan penyelidikan dan makmal yang mampu membantu industri. Justeru, SME Innovation Day 2026 dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi merapatkan jurang antara akademik dan industri dengan memadankan keperluan SME dan kepakaran yang sesuai di USM.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran Enterprise Innovation Platform (EIP) merupakan antara inisiatif utama yang diperkenalkan bagi mempercepatkan proses kerjasama antara SME dan pakar universiti.
Menurut beliau, EIP merupakan sebuah platform digital baharu yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan syarikat-syarikat SME memasukkan isu atau masalah yang sedang dihadapi seperti masalah kewangan, pembangunan bakat, operasi dan lain-lain.
“Sebaik sahaja pernyataan masalah dimasukkan ke dalam sistem, teknologi AI akan mengenal pasti serta memadankan masalah tersebut dengan kepakaran yang terdapat di USM. Selepas itu, sistem akan menghantar e-mel secara automatik kepada pakar berkaitan sebelum mereka menghubungi pihak SME untuk membincangkan jalan penyelesaian yang sesuai,” kata Dr. Jeffrey Cheah Sau Seng.
Dr. Jeffrey berharap platform EIP dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak SME pada masa hadapan supaya setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan lebih cepat melalui kerjasama bersama penyelidik dan pakar universiti.
“Sasaran kami adalah untuk melihat lebih banyak SME di Malaysia berkembang hasil daripada padanan kepakaran yang lebih cekap dan berkesan melalui platform ini,” katanya.
Beliau juga berkongsi bahawa SME Innovation Day 2026 telah berjaya menghimpunkan lebih 150 peserta daripada lebih 80 SME bersama wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ), dekan dan timbalan dekan penyelidikan USM.
Beliau berharap kerjasama yang terjalin tidak putus selepas program ini, sebaliknya diteruskan bagi membina ekosistem inovasi yang mampan antara universiti dan industri.