SINERGI USM-SUK PULAU PINANG PERKUKUH AGENDA KESEJAHTERAAN MENTAL SEKTOR AWAM
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan kesejahteraan mental menerusi penganjuran bersama Persidangan Psikologi dan Program Hari Terbuka Psikologi dan AKRAB Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Mercure Hotel, Tanjung Bungah baru-baru ini.
Program yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan itu merupakan antara 10 inisiatif yang dilaksanakan sempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan peringkat Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM.
Penganjuran program tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang, Unit Kaunseling BHEPA USM, dan Unit Perhubungan serta Kesejahteraan Staf, Bahagian Sumber Manusia USM dalam usaha memperkasakan agenda kesihatan mental dalam sektor awam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Dr. Jafri Abdul Jalil.
USM diwakili Ketua Pentadbir BHEPA, Siti Aisyah Abdul Raffar yang hadir bagi mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, selain turut disertai Ketua Pegawai Psikologi BHEPA USM, Ahmad Anwar Omar dan pegawai Unit Kaunseling BHEPA.
Bertemakan “Insan Sejahtera, Bakat Diperkasa ke Arah Keseimbangan Minda dan Kesihatan Era Digital”, program itu memberi penekanan terhadap pengurusan tekanan dan keseimbangan kehidupan dalam mendepani cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Persidangan berkenaan menampilkan dua sesi perkongsian utama menerusi Pocket Talk yang membincangkan isu kesejahteraan mental dalam era digital.
Sesi pertama bertajuk “Disconnect to Reconnect: Memahami Digital Fatigue dan Kesejahteraan Minda Era Digital” disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman, manakala sesi kedua “Reconnect with Your Body: Kembali Pada Diri” dikendalikan oleh Eksekutif Kaunseling (Pembangunan Kerjaya dan Alumni) Unit Kaunseling KPTM, Nasrulhaq Mustaqim Mohd Noor.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan USM dan Pejabat SUK Negeri Pulau Pinang dalam membudayakan persekitaran kerja yang positif, empatik, dan lestari, di samping memperluas jaringan profesional bagi memperkasa pembangunan modal insan dalam sektor awam.