SIMPOSIUM CTEF PERKUKUH INOVASI, MOBILITI DAN KERJASAMA STRATEGIK PENDIDIKAN TINGGI KOMANWEL
PULAU PINANG, 10 November 2026 – Kepentingan inovasi, mobiliti pelajar, dan kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan pendidikan tinggi negara-negara Komanwel menjadi fokus utama Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) Symposium 2026 yang berlangsung di Zenith Hotel Putrajaya pada 29 Oktober yang lalu.
Dianjurkan oleh Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS), simposium bertemakan “Tertiary Education Development in the Commonwealth: Excellence, Mobility and Partnership” itu menghimpunkan 200 peserta dari Malaysia, India, Pakistan, Maldives, Filipina, Sudan, Belize, Mesir, Bangladesh, Nigeria, dan Jordan.
Simposium berkenaan menjadi platform strategik yang mempertemukan ahli akademik, pembuat dasar, dan pihak berkepentingan pendidikan bagi membincangkan trend semasa, cabaran, dan peluang dalam pembangunan pendidikan tertiari, khususnya berkaitan pengantarabangsaan, transformasi digital, dan pendidikan rentas negara (transnational education atau TNE).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian KPT, Datin Noorazah Omar, manakala Pengarah CTEF, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, dalam ucapan pembukaan dan penutupnya menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama serta inovasi bagi memajukan pendidikan tinggi berkualiti di negara-negara Komanwel.
Ucaptama bertajuk “The Future of Tertiary Education: Digital Transformation, Emerging Trends and Preparing for Tomorrow’s Economies” disampaikan oleh Pengarah Pejabat Serantau UNESCO di Jakarta merangkap Wakil UNESCO ke Indonesia, Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina dan Timor-Leste, Maki Katsuno-Hayashikawa.
Beliau berkata landskap pendidikan tinggi global kini dipacu oleh pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kemahiran, dan kerjasama antarabangsa yang semakin berkembang.
Sesi pleno pertama bertajuk “Shaping the Future of Tertiary Education Across the Commonwealth: Trends, Challenges and Opportunities for Cooperation” dipengerusikan oleh Profesor Dr. Wan Chang Da dari Taylor’s University dan menampilkan Pengarah National Assessment and Accreditation Council (NAAC), India, Profesor Dr. Ganesan Kannabiran; Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias; Naib Presiden (Pendidikan) Monash University Malaysia, Profesor Dr. Stephen Boyle; dan Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Perbincangan menekankan keperluan mewujudkan kelayakan yang lebih fleksibel, kurikulum merentas disiplin, peluang pembelajaran sepanjang hayat, serta kerjasama yang lebih erat antara universiti dan industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
Para panelis turut berpandangan bahawa cabaran seperti kekangan kewangan, jurang digital, dan integrasi AI perlu ditangani secara bersepadu, namun pada masa sama membuka ruang kepada inovasi dan kerjasama rentas sempadan yang lebih meluas.
Sesi pleno kedua bertajuk “Beyond Borders: Reimagining Transnational Education Through Policy, Partnerships and Student Mobility” dipengerusikan oleh Ketua Projek Khas EMGS, Muhammad Afif Ahmad Sabri.
Panel sesi itu terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Asia Pacific University (APU), Profesor Ts. Dr. Murali Raman; Naib Provos Pengajaran dan Pembelajaran University of Nottingham Malaysia, Profesor Dr. Hazel Ramoz; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi KPT, Nordiana Mohd Nordin; dan Ketua Pendidikan British Council Malaysia, Prabha Sundram.
Perbincangan memberi tumpuan kepada perkembangan pesat pendidikan rentas negara dan peranan KPT serta EMGS dalam menyokong pendidikan antarabangsa yang berkualiti melalui pendekatan seperti pengajaran merentas kampus, kurikulum yang dibangunkan bersama industri, kerjasama berasaskan penyelidikan dan micro-credentials.
Menurut panelis, inisiatif seperti UK-Malaysia Talent Corridor turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh mobiliti bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas kerjasama antarabangsa.
Sesi itu merumuskan bahawa ekosistem TNE yang lebih kukuh, saling berhubung dan berorientasikan industri amat penting bagi melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan aspek kualiti, kerelevanan, dan kebolehcapaian pendidikan.
Simposium berkenaan turut menegaskan kepentingan pendidikan berkualiti, inovasi digital, mobiliti pelajar, dan kerjasama global dalam memacu pembangunan pendidikan tinggi di seluruh negara Komanwel, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti dan SDG 17 iaitu Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Cadangan dan dapatan strategik hasil perbincangan akan menyumbang kepada syor dasar CTEF untuk dibentangkan pada Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) akan datang, selain dimuatkan dalam laporan yang akan dikemukakan kepada UNESCO bagi menyokong pembangunan dasar dan dialog antarabangsa berkaitan pendidikan tertiari di negara-negara Komanwel.
Teks: Dr. Nur Rafidah Asyikin Idris, Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: S. Sri Jeyanthirar, CTEF