Skip to main content

SIDANG KELIMA: PRO-CANSELOR SERU GRADUAN PERKUKUH ILMU, TINGKAT KESEDARAN TANGANI CABARAN KOMUNITI

USM PULAU PINANG, 26 November 2026 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan menyarankan para graduan agar terus memperkukuh ilmu pengetahuan, meningkatkan kesedaran sosial serta memainkan peranan aktif dalam mendepani dan menangani pelbagai cabaran yang dihadapi komuniti dan masyarakat.

Beliau berkata, konvokesyen bukanlah noktah kepada perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya merupakan permulaan kepada amanah dan tanggungjawab yang lebih besar dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui ilmu, kepakaran, dan nilai kemanusiaan.

“Ilmu yang diperoleh akan diuji melalui keputusan yang dibuat, masalah yang diselesaikan serta kehidupan masyarakat yang disentuh melalui sumbangan dan khidmat yang diberikan,” katanya ketika mempengerusikan Sidang Kelima Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM, di sini hari ini.

Pada sidang itu, seramai 743 graduan menerima ijazah masing-masing, melibatkan 195 graduan daripada Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, 495 graduan dari Pusat Pengajian Sains Perubatan serta 53 graduan daripada Pusat Pengajian Sains Pergigian.

Menurut Zulkefli, kecemerlangan seseorang graduan bukan sahaja diukur berdasarkan penguasaan ilmu, malah turut bergantung kepada keupayaan berfikir secara kritis serta memanfaatkan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.

“Setiap jawapan yang diperoleh dengan pantas perlu dinilai dari segi ketepatan, etika dan kesesuaiannya. Pada ketika dunia bergerak pantas dengan perkembangan kecerdasan buatan, automasi, dan teknologi digital, graduan perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan serta memanfaatkan teknologi untuk kebaikan sejagat,” katanya.

Beliau berkata graduan Pusat Pengajian Sains Perubatan perlu menggunakan ilmu yang diperoleh bagi menangani isu kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan profesional yang didukung pertimbangan yang tepat serta penggunaan teknologi yang bersesuaian.

Bagi graduan Pusat Pengajian Sains Pergigian pula, beliau menegaskan kepentingan usaha mempertingkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui penjagaan kesihatan mulut yang berkualiti, termasuk dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan mereka yang berdepan pelbagai kekangan hidup.

Dalam pada itu, graduan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan disaran memainkan peranan sebagai penghubung yang mampu membina kefahaman serta merapatkan jurang komunikasi dalam masyarakat.

“Martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di samping menguasai bahasa lain untuk membawa pemikiran dan kepakaran negara ke peringkat antarabangsa.

“Manfaatkan juga teknologi dan bahasa ibunda untuk menghasilkan kandungan yang bermakna, berteraskan kepakaran tempatan serta sensitif terhadap konteks semasa, sekali gus memperluas pengaruh di peringkat global tanpa mengabaikan mutu bahasa dan ketepatan penyampaian,” katanya.

Zulkefli berkata ketiga-tiga bidang pengajian itu mempunyai hubungan yang rapat dengan kehidupan manusia dan saling melengkapi dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

Justeru, katanya, penyampaian dan penterjemahan maklumat yang tepat serta berkesan amat penting dalam membantu masyarakat memahami isu berkaitan kesihatan, rawatan, dan kesejahteraan hidup.

Beliau turut menekankan kepentingan kefahaman merentas disiplin dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat, selain menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat agar graduan sentiasa relevan dalam memenuhi tuntutan profesion dan perubahan teknologi.

Mengakhiri ucapannya, Zulkefli menggesa para graduan membawa nama baik USM dengan penuh maruah serta menggunakan ilmu yang dimiliki untuk membuka peluang, meringankan kesusahan, dan membina harapan dalam masyarakat.

“Terus melangkah dengan yakin, berkhidmat dengan ihsan, dan tinggalkan impak yang bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para graduan agar sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa, pasangan, anak-anak serta keluarga yang menjadi tunjang kejayaan mereka, selain mengenang jasa dan bimbingan para akademik yang membentuk perjalanan pendidikan masing-masing.

Turut hadir pada upacara itu ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, ahli-ahli Senat, pengurusan tertinggi universiti serta para hadirin.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab