Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

SEMPANA USM JOHAN SAYEMBARA TEMASYA PANTUN ISLAMI USAS

USM PULAU PINANG · 13 Oktober 2026

Pasukan SEMPANA Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya dinobatkan sebagai Johan Temasya Pantun Islami yang berlangsung di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak baru-baru ini.

Kejayaan tersebut mengulangi pencapaian cemerlang yang pernah dilakar oleh pasukan berkenaan apabila muncul juara buat pertama kali pada tahun 2019, sekali gus membuktikan konsistensi USM dalam mengangkat seni warisan pantun di pentas universiti.

Temasya yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober 2026 itu menghimpunkan lima pasukan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Dengkil, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), dan USM.

Pasukan SEMPANA USM diwakili oleh Muhammad Syawwal Radzi (Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Fizik), Muhammad Aiqim Bukhari (Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan), Raihana Mohd Razif (Tahun 4, Pusat Pengajian Pengurusan), dan Nur Ain Zulaika Zulfadli (Tahun 2, Pusat Pengajian Komunikasi).

Sepanjang pertandingan, pasukan USM berjaya mengharungi pelbagai peringkat saringan yang mengetengahkan tema-tema semasa dan berwibawa seperti Al-Ghazwul Fikri, Kecerdasan Buatan dan Kearifan Maritim Melayu sebelum melangkah ke pentas akhir menentang pasukan ADYKALABUDI dari UIAM.

Pada peringkat akhir, SEMPANA USM berjaya mencatat kemenangan bergaya menerusi keputusan sebulat suara juri, 8-0.

Melalui kemenangan itu, pasukan SEMPANA USM membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, manakala Raihana Mohd Razif turut meraih pengiktirafan sebagai Pemantun Terbaik Peringkat Akhir.

Kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen dan usaha berterusan pasukan di bawah bimbingan Murshid Md Hussin, Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA, bersama Muhamad Shamsuri Hashim, alumni USM yang bertindak sebagai penasihat luar.

Turut memainkan peranan penting dalam kejayaan ini ialah barisan jurulatih yang terdiri daripada Syuhaira Afiah, Amirul Zikri, dan Syahirah, selain sokongan padu daripada ahli-ahli SEMPANA serta alumni USM.

Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama USM di pentas seni dan budaya nasional, malah membuktikan bahawa seni pantun terus relevan sebagai wahana intelektual, kreativiti, dan pemerkasaan jati diri bangsa dalam kalangan generasi muda.

Pencapaian ini juga mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memartabatkan warisan budaya Melayu serta melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan, dan kesenian.

Teks & Foto: SEMPANA USM / Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
```