Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM RANGKUL KONTINJEN TERBAIK KATEGORI AWAM SEMPENA MAULIDUR RASUL

PULAU PINANG · 25 Ogos 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) dinobat sebagai Kontinjen Terbaik Kategori Awam pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1448H/2026M yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jawi (SMK Jawi), di sini hari ini.

Pengiktirafan itu menyerlahkan semangat kebersamaan dan komitmen warga USM dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, selain membawa nama universiti di peringkat negeri menerusi penyertaan penuh penghayatan terhadap nilai yang dibawa Rasulullah SAW.

Kontinjen USM yang terdiri daripada 30 staf dari Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan menyertai perarakan bersama 43 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan institusi, termasuk 11 kontinjen dalam kategori NGO/Swasta/IPTA (Awam).

Perarakan kontinjen USM diketuai Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Fikri Ali Yasah, manakala penyelarasan keseluruhan dikendalikan Pegawai Psikologi, Nur Amirah Asyikin Hasmizar selaku Penyelaras Kontinjen USM.

Menurut Amirah, penyertaan USM bukan sekadar memenuhi tuntutan pertandingan, sebaliknya menjadi wadah untuk menzahirkan kecintaan dan penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW serta menghayati ajaran dan akhlak mulia yang dibawa Baginda.

“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah pencapaian, tetapi menjadi simbol kebersamaan warga USM dalam mengangkat syiar Islam dan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

“Apa yang lebih bermakna ialah semangat tersebut dapat diterjemahkan melalui penglibatan dan kebersamaan warga universiti dalam acara yang sarat dengan nilai kerohanian dan kemanusiaan.”

Beliau berkata, penglibatan warga USM dalam sambutan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh nilai kerohanian, menyuburkan semangat kebersamaan dan membudayakan akhlak mulia dalam kalangan warga universiti.

Penyertaan kontinjen turut mendapat sokongan urus setia daripada Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf serta Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM bagi memastikan kelancaran penglibatan warga universiti.

Sementara itu, Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga universiti yang memberikan komitmen dalam mewakili USM pada sambutan peringkat negeri berkenaan.

Tambahnya, kejayaan itu sekali gus mengukuhkan imej USM bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, malah sebagai komuniti yang mengangkat nilai kerohanian, kebersamaan dan akhlak mulia dalam kehidupan warga universiti.

Teks: Nur Amirah Asyikin Hasmizar K.B.P.A., Jabatan Pendaftar, USM
Foto: Jabatan Pendaftar, USM