Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

SEMARAK 'BACK TO CAMPUS': USM HIMPUNKAN ALUMNI, UKIR REKOD BAHARU MBOR MENERUSI WAVE 2026

PULAU PINANG · 10 Oktober 2026

Bersempena Majlis Peluncuran Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026, Pusat Pembangunan Alumni, BHEPA, USM menganjurkan Karnival Mini Alumni Back to Campus dan MADANI Alumni Run Putrajaya–Jakarta 2026 di Dewan Utama Pelajar, Padang Kawad USM.

MADANI Alumni Run Putrajaya–Jakarta 2026 yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta turut diserikan dengan Karnival Mini Alumni Back to Campus menerusi pertandingan mewarna kanak-kanak, reruai jualan dan cabutan bertuah, sekali gus menyemarakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh interaksi dan jaringan kebersamaan antara alumni, warga universiti, dan komuniti.

Dalam program yang sama, Majlis Peluncuran Alumni Back to Campus 2026 yang berlangsung secara dalam talian menghimpunkan komuniti alumni daripada 20 Universiti Awam seluruh negara, telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sekali gus mencipta momentum kebersamaan yang menyumbang kepada rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kempen World Alumni Virtual Engagement (WAVE).

Seiring semangat kebersamaan kebangsaan, pengisian aktiviti di USM turut mendapat sokongan pengurusan tertinggi universiti menerusi kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar; Pengarah Pusat Pembangunan Alumni, BHEPA, Ahmad Wafi Sahedan; dan wakil Persatuan Alumni USM, Muhammad Idzuan Jamalludin.

Penganjuran ini menjadi wadah strategik untuk terus merapatkan hubungan alumni dengan alma mater, memperkukuh jaringan kebersamaan serta menyemarakkan penglibatan komuniti alumni USM dalam menyokong agenda kecemerlangan universiti dan pembangunan pendidikan tinggi negara.

Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM