SAMBUTAN HARI AHLI FARMASI SEDUNIA 2026 PERKUKUH PERANAN AHLI FARMASI DALAM MEMACU KESIHATAN KOMUNITI
Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, dan Persatuan Farmasi Malaysia Pulau Pinang telah menganjurkan Sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2026 bertemakan “Empowering Pharmacists for Healthier Futures” di Dewan Utama Pelajar A dan B, USM Kampus Induk, Pulau Pinang.
Pasukan USM yang diketuai oleh Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) turut bekerjasama dengan Pusat Racun Negara, Pusat Sejahtera USM, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) USM Bertam, dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM, dengan sokongan daripada alumni PPSF serta rakan strategik dan komuniti.
Majlis tersebut yang berlangsung pada 26 September yang lalu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, serta dihadiri tetamu kenamaan, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Noraini Ab Kadir.
Habibah dalam ucapan perasmiannya, berkata, penganjuran program seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi universiti yang sentiasa menekankan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak, inovasi, dan khidmat kepada masyarakat.
“Lebih penting, program sebegini memperlihatkan bahawa usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, perkhidmatan kesihatan, badan profesional, industri, dan komuniti,” jelasnya.
Menurutnya lagi, “Dalam menghadapi masa hadapan, profesion farmasi perlu terus berkembang seiring dengan kemajuan sains, teknologi, perkembangan perubatan, dan transformasi digital. Semua perkembangan ini membuka ruang baharu kepada ahli farmasi untuk memperluas peranan serta meningkatkan nilai yang dapat disumbangkan kepada pesakit dan sistem kesihatan.”
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang sambutan, antaranya pameran interaktif berkaitan farmasi, saringan kesihatan, ceramah kesihatan, Funrobic, pertandingan pendidikan, dan aktiviti penglibatan komuniti. Pelaksanaan aktiviti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat kesihatan secara langsung serta berinteraksi dengan ahli farmasi, profesional kesihatan, dan pelajar farmasi.
Program ini turut mengetengahkan peranan penting ahli farmasi dalam promosi kesihatan, keselamatan penggunaan ubat-ubatan, penjagaan kesihatan pencegahan, pendidikan pesakit serta kesejahteraan komuniti.
Selain itu, penganjuran sambutan ini menyokong usaha USM dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui promosi kesihatan dan penjagaan pencegahan; SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyampaian pendidikan kesihatan dan farmasi kepada masyarakat; serta SDG 17: Kerjasama demi Matlamat melalui pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi akademik, perkhidmatan kesihatan, badan profesional, alumni, dan komuniti.
Hadir bersama, Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri; Pengarah-Pengarah Hospital; Ketua-Ketua Cawangan Perkhidmatan Farmasi Pulau Pinang; Dekan PPSF, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan dan Timbalan-timbalan Dekan PPSF; wakil-wakil Persatuan Farmasi Malaysia serta tetamu jemputan yang lain.
Hari Farmasi Sedunia diraikan pada 25 September setiap tahun dan ia merupakan satu platform penting untuk kita menghargai sumbangan profesion farmasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan ahli farmasi dalam sistem penjagaan kesihatan.