Skip to main content

PUSAT PEMBANGUNAN PELAJAR BHEPA USM PERKASA PERTUBUHAN PELAJAR DEMI KELESTARIAN AGENDA “BRAIN OF THE NATION”

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 7 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 7 Oktober 2026 – Ekosistem kepimpinan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) terus diperkasa apabila Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Profesor Dr. Azizah Omar, mengadakan lawatan rasmi sempena Hari Pertubuhan Pelajar Sesi 2026/2027.

Memasuki hari ketiga, lawatan yang berlangsung meriah di Dewan Kuliah G03 (DK G03) itu bertujuan meninjau secara dekat gerak kerja, komitmen, serta sumbangan persatuan, kelab, sekretariat pelajar, dan persatuan anak negeri dalam membudayakan aktiviti berpersatuan yang berimpak tinggi di kampus.

Kehadiran Azizah turut dimanfaatkan untuk berdialog secara langsung dengan barisan kepimpinan pelajar bagi memastikan hala tuju organisasi sentiasa selaras dengan visi strategik universiti.

Menerusi Bengkel Pengukuhan Strategik Pembangunan BHEPA yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya di Pulau Pangkor, Perak pada 3 hingga 5 Februari lalu, BHEPA bukan sekadar menumpukan aspek kebajikan dan pembangunan pelajar, malah komited membentuk arkitek kemenjadian siswa dan impak sosial USM.

Inisiatif ini mendasari kesinambungan Bengkel Perancangan Strategik 2025–2027 yang digariskan oleh PPP, yang mana perancangan menyeluruh digerakkan melalui lima fokus utama, iaitu Tadbir Urus (Governance), Bakat (Talent), Jaringan (Networking), Sumber (Resources), serta Pendigitalan dan Inovasi (Digitalisation and Innovation) bagi memperkasakan empat sektor di bawah seliaannya.

“Dalam sesi interaksi bersama para pelajar, penekanan khusus telah diberikan kepada enam teras hala tuju BHEPA yang menjadi kompas utama pembangunan sahsiah dan potensi mahasiswa, iaitu kebajikan dan kesejahteraan, keterampilan dan kemampanan, kebersamaan dan sinergi, keadaban dan kemanusiaan, kelestarian kewangan dan persekitaran, serta kerohanian dan keinsanan,” ujar Azizah.

Beliau menambah, peranan pertubuhan pelajar tidak hanya tertumpu kepada program berteraskan agenda H.E.B.A.T, Students for Society (S4S), dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) semata-mata, tetapi perlu diperkukuh agar sentiasa seiring dengan amanat Menteri Pendidikan Tinggi bahawa universiti merupakan “brain of the nation – akal budi nusa”.

Justeru, keenam-enam teras strategik tersebut amat penting dalam membentuk sahsiah unggul, membina nilai kepimpinan tulen, serta melahirkan graduan berdaya cipta dan lestari yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM