PULARA 2026 LABUH TIRAI, DIIKTIRAF DALAM MBOR
Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 melabuhkan tirainya baru-baru ini menerusi Malam Kemuncak yang mengangkat keindahan seni, budaya, dan warisan tempatan.
Malam kemuncak itu juga turut berperanan sebagai wadah memperkukuh jati diri bangsa serta menyatukan masyarakat menerusi kepelbagaian budaya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, warisan budaya negara perlu terus diketengahkan sebagai asas pembentukan jati diri generasi muda, selain menjadi medium untuk masyarakat memahami kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.
“Marilah kita gunakan ruang ini untuk menonjolkan warisan budaya kita supaya terbinanya jati diri dalam jiwa anak bangsa melalui kepelbagaian kebudayaan yang wujud di negara kita,” ujar beliau.
Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, festival berkenaan berjaya menarik kehadiran 20,000 pengunjung. Jumlah itu merangkumi lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Ia turut disertai lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 buah negara. Lebih membanggakan, kejayaan penganjuran ini turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Malam Kemuncak PULARA 2026 turut menyaksikan penyampaian sumbangan inisiatif Kampung Angkat MADANI berupa cek bernilai RM50,000 bagi pemasangan lampu solar fotovoltaik (PV) untuk 100 buah bot nelayan di Pulau Pangkor, Perak.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seni tradisional, deklamasi sajak, dan persembahan oleh artis jemputan yang menyerlahkan keindahan bahasa serta kekayaan warisan negara, sekali gus menyemarakkan apresiasi masyarakat terhadap seni dan sastera tanah air.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; barisan naib canselor serta timbalan naib canselor universiti awam; dan ketua-ketua jabatan Daerah Manjung.