PROJEK CENDAWAN, PPDK JADI PLATFORM PPPJJ USM–UNIVERSITAS TERBUKA PERKASA KOMUNITI
Projek pembangunan komuniti termasuk inisiatif cendawan volvariella dan kerjasama bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Telok Bahang menjadi antara platform perkongsian pengalaman akademik antara Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Terbuka (UT), Indonesia.
Perkongsian tersebut memberi tumpuan kepada pendekatan pembangunan masyarakat dan kelestarian, selain mengetengahkan bagaimana ilmu akademik dapat dihubungkan secara langsung dengan keperluan serta potensi komuniti.
Program berkenaan melibatkan tiga pensyarah daripada Program Studi Pembangunan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Terbuka, iaitu Ni Made Ayu Krisna Cahyadi, Chandra Murti Dewi Widowati Hermanjiwandini dan Hasta Dwi Pradana.
Antara pengisian utama ialah perkongsian pengalaman berkaitan projek komuniti bersama PPDK Telok Bahang yang diketuai oleh Dr. Norhanishah Mohamad Yunus. Projek tersebut memperlihatkan pendekatan PPPJJ USM dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan sebenar komuniti melalui aktiviti pembangunan dan pemerkasaan masyarakat.
Para peserta turut diperkenalkan kepada projek komuniti cendawan yang dikendalikan bersama Dr. Jacquelina Karimon, yang mengetengahkan potensi cendawan volvariella sebagai inisiatif ekonomi komuniti dengan nilai tambah dari aspek kelestarian, keusahawanan dan pembangunan ekonomi setempat.
Lebih menarik, komuniti Taman Pekaka yang terlibat secara langsung dalam projek cendawan bersama PPPJJ USM turut dijemput untuk berkongsi pengalaman dan perkembangan projek tersebut. Interaksi secara langsung antara ahli akademik dan komuniti itu memberi ruang kepada pertukaran pengetahuan serta pengalaman secara lebih dekat dan praktikal, di samping memperlihatkan potensi projek berasaskan komuniti sebagai medium pembelajaran dan pemindahan ilmu.
Penglibatan Universitas Terbuka dalam perkongsian projek komuniti PPPJJ USM bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan komuniti, malah memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.
Pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi universiti dalam memperluas peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin pembangunan masyarakat melalui pemindahan ilmu, inovasi sosial, kelestarian dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Kerjasama tersebut diharapkan dapat menjadi platform untuk meneroka lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi komuniti, keusahawanan sosial, kelestarian dan pemerkasaan masyarakat, sekali gus memberi manfaat langsung kepada komuniti yang terlibat.
PPPJJ USM terus komited menjadikan komuniti sebagai rakan strategik dalam memperkasa ilmu, membina jaringan antarabangsa dan mencipta impak bermakna kepada masyarakat.