Pameran Kesedaran Radiasi “Debunking Myths and Promoting Safety Awareness” yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang di Hospital Pulau Pinang, George Town melalui Program ‘Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) 2025’ telah melabuhkan tirai dengan jayanya apabila berjaya memberi pendedahan serta pengetahuan baharu kepada orang awam mengenai radiasi perubatan, khususnya dari segi keselamatan penggunaan, manfaat dalam diagnosis dan rawatan, serta kepentingan memahami keseimbangan antara risiko dan faedah.
Inisiatif ini telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM). Pameran ini turut disertai 39 pelajar tahun akhir daripada program pengajian Sarjana Muda Fizik Perubatan USM yang dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Nursakinah Suardi selaku Ketua Projek SULAM 2025 dan Dr. Nik Noor Ashikin Nik Ab Razak sebagai Rakan Kerjasama Projek.
Program kedua di bawah projek SULAM 2025 anjuran Pusat Pengajian Sains Fizik ini menumpukan perhatian kepada pengunjung hospital yang hadir untuk mendapatkan rawatan dan staf kesihatan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan sinaran.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Dr. Siti Hajar Ismail, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Pulau Pinang. Dr. Siti Hajar menyifatkan pameran ini sebagai satu platform perkongsian yang sangat efektif. Menurut beliau, pameran ini membolehkan para pelajar menyampaikan maklumat berkaitan penggunaan radiasi perubatan kepada masyarakat umum secara langsung, sekali gus membantu merungkai mitos dan salah faham mengenai radiasi. Beliau turut menegaskan inisiatif ini selaras dengan keperluan pelajar yang bakal melangkah ke alam profesional tidak lama lagi untuk lebih yakin dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan khalayak umum.
Pada akhir program ini, kira-kira 300 pengunjung telah hadir ke reruai pameran (booth) yang bukan sahaja mempamerkan maklumat berkaitan radiasi, malah turut merangkumi pameran kesedaran kanser serta pelbagai aktiviti interaktif bersama pengunjung.
Program ini berjaya memupuk pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar, antaranya kemahiran komunikasi, keyakinan diri, kerja berpasukan dan kepimpinan. Perkara ini selaras dengan harapan dan objektif Ketua Program SULAM 2025, Profesor Madya Dr. Nursakinah Suardi, yang menekankan kepentingan memberikan pendedahan yang jelas dan tepat kepada masyarakat mengenai penggunaan radiasi, di samping memupuk kemahiran insaniah dan profesional dalam kalangan pelajar. Program sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium pendidikan berterusan kepada masyarakat serta platform praktikal kepada pelajar dalam bidang fizik perubatan.