Skip to main content

PROGRAM PENGKOMPOSAN USM SEMAI BUDAYA LESTARI DALAM KALANGAN MURID SJK(T) PERAI

KELESTARIAN KOMUNITI 25 Julai 2026 USM PULAU PINANG
Program Composting for a Greener Perai
Program Composting for a Greener Perai anjuran Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Perai.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menganjurkan Program Composting for a Greener Perai di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Perai bagi memupuk budaya pengkomposan dan meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa secara lestari dalam kalangan murid sekolah.

Program yang mendapat sokongan serta peruntukan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu merupakan antara inisiatif memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar di peringkat komuniti.

Fokus Utama Inisiatif

Program ini memberi pendedahan kepada murid mengenai kaedah pengkomposan sebagai satu pendekatan pengurusan sisa organik yang mesra alam serta menyokong usaha mewujudkan komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.

Perasmian Program Composting for a Greener Perai
Majlis perasmian Program Composting for a Greener Perai yang melibatkan kerjasama USM, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak sekolah.

Memupuk Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar Sejak Awal

Majlis perasmian disempurnakan Exco Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Sundarajoo Somu, yang menegaskan bahawa pendidikan alam sekitar perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, amalan pengkomposan bukan sahaja mampu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyokong usaha mewujudkan komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.

“Program seperti ini wajar diperluaskan ke lebih banyak sekolah di Pulau Pinang melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan masyarakat bagi membudayakan amalan pengurusan sisa yang lestari,” ujar beliau.

Aktiviti pengkomposan bersama murid
Aktiviti pembelajaran berkaitan pengkomposan bersama murid sekolah.

Pendidikan Pengurusan Sisa Organik

Sementara itu, ketua projek yang juga pensyarah PPPJJ, ChM Dr. Gunasunderi Raju berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai konsep pengkomposan sebagai kaedah pengurusan sisa organik yang mesra alam.

Menurut beliau, peserta didedahkan kepada kaedah mengurus sisa organik secara sistematik sebelum diproses menjadi baja kompos yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi program itu diharap dapat diterapkan dalam kehidupan harian murid sekali gus membentuk budaya pengasingan sisa dan pengkomposan di rumah serta di sekolah.

Peserta program Composting for a Greener Perai
Peserta program mengikuti aktiviti berkaitan pengurusan sisa dan penghasilan kompos.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan peruntukan yang disalurkan melalui MMK Alam Sekitar bagi menjayakan program berkenaan, selain menghargai kerjasama PPPJJ, pihak pengurusan SJK(T) Perai, guru, ibu bapa serta pasukan projek yang menjayakan pelaksanaannya.

Kerjasama USM dan pihak sekolah
Kerjasama antara USM, pihak sekolah dan komuniti dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dekan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob dan Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab, bersama wakil USM, pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa serta peserta program.

Program itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar menerusi pendidikan, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan mampan.

Program Composting for a Greener Perai
Komitmen USM dalam memperkasa pendidikan kelestarian alam sekitar bersama komuniti.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM
Diterbitkan pada: 24 Julai 2026