Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Padjadjaran (UNPAD) berjaya melakar satu lagi fasa baharu dalam jalinan kerjasama akademik strategik menerusi Program Mobiliti Akademik dan Budaya SYNAPSE 2026 di Bandung, Indonesia.
Program yang berlangsung secara hibrid dari 17 Ogos hingga 4 September 2026 itu menghimpunkan warga akademik dan pelajar kedua-dua institusi melalui pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan, teknologi, kelestarian, dan pertukaran budaya.
Antara pengisian utama SYNAPSE 2026 ialah penerokaan potensi kerjasama dalam penawaran Open and Distance Learning (ODL) bagi bidang Fizik di FMIPA UNPAD. Dalam usaha tersebut, kepakaran dan amalan terbaik PPPJJ USM dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara maya turut dikongsikan sebagai salah satu penanda aras dalam meneroka model ODL yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan masa hadapan.
Program turut memberikan peluang kepada delegasi USM yang diketuai oleh Ts. Dr. Nor Zakiah Yahaya, bersama tujuh orang pelajar daripada pelbagai disiplin, untuk mendapatkan pendedahan praktikal menerusi lawatan dan aktiviti di Makmal Penyelidikan Finder U, UNPAD.
Selain itu, perkongsian ilmu diperkasakan melalui SYNAPSE Seminar 2026, yang menjadi platform pembentangan kertas kerja penyelidikan berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta pertukaran idea antara warga akademik dan pelajar kedua-dua universiti.
Elemen khidmat komuniti turut menjadi antara pengisian penting program apabila para pelajar turun ke lapangan di Desa Binaan Kencana Asih Pedas. Melalui aktiviti “Sampah Menjadi Berkah”, para peserta berpeluang mengaplikasikan ilmu berkaitan pengolahan sisa, pengurusan sampah, dan teknologi tenaga mampan dalam konteks komuniti setempat. Inisiatif ini memperlihatkan bagaimana ilmu sains dan teknologi dapat dipindahkan daripada ruang akademik dan makmal kepada penyelesaian sebenar di peringkat akar umbi.
SYNAPSE 2026 turut mengetengahkan aspek pertukaran budaya apabila delegasi USM memperkenalkan warisan Boria Pulau Pinang kepada komuniti akademik UNPAD. Perkongsian turut meliputi isu Undi18, selain sesi perkongsian pengalaman oleh pelajar PPPJJ USM berkaitan cabaran dan strategi mereka dalam mengimbangi kerjaya, keluarga, dan pengajian secara ODL.
Menurut Nor Zakiah, Pensyarah Fizik PPPJJ, pengalaman mobiliti di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa fleksibiliti ODL mampu membuka ruang yang luas kepada pelajar untuk membina kompetensi global. “Pendedahan peringkat antarabangsa ini membuktikan bahawa sistem pengajian ODL di USM berupaya melahirkan pelajar yang berdaya saing global tanpa menjejaskan kualiti akademik mahupun tanggungjawab peribadi dan kerjaya mereka.”
Program SYNAPSE 2026 membuktikan bahawa fleksibiliti pendidikan jarak jauh bukanlah penghalang kepada kecemerlangan, malah menjadi pemangkin kepada mobiliti, inovasi, perkongsian ilmu, dan pembentukan jaringan antarabangsa. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh delegasi PPPJJ USM atas komitmen dan pencapaian yang membanggakan dalam mengangkat nama USM ke pentas antarabangsa!