Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PROGRAM MOBILITI SULUNG INFORMM MEMASUKI MINGGU AKHIR

USM PULAU PINANG · 13 Ogos 2026

Program Mobiliti sulung yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM) kini memasuki minggu terakhir selepas bermula pada 20 Julai 2026.

Sepanjang program yang berlangsung selama sebulan itu, para peserta berpeluang memperoleh pendedahan dalam pelbagai bidang perubatan molekul, di samping merasai pengalaman dalam persekitaran penyelidikan dan pembelajaran di INFORMM.

Salah satu komponen utama program ialah sesi Early Scientist Exploration (ESE) yang diadakan pada minggu ketiga dan keempat, apabila para peserta bekerja dalam kumpulan kecil bagi melaksanakan projek makmal secara praktikal di bawah bimbingan akademia INFORMM.

Projek-projek tersebut memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang penyelidikan termasuk penghasilan antibodi, polymerase chain reaction (PCR), penyuntingan genom CRISPR, kultur sel kanser, bioaktiviti produk semula jadi dan penerokaan mikrob, sekali gus memberikan pengalaman bernilai dalam penyelidikan perubatan molekul kontemporari.

Di luar makmal, para peserta turut diperkenalkan kepada kepelbagaian budaya Malaysia melalui aktiviti seperti mencanting batik, sepak raga dan tarian tradisional Melayu, selain lawatan ke Pinang Peranakan Mansion serta Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.

Mereka turut mengikuti sesi bahasa dan budaya Melayu serta meneroka beberapa lokasi tarikan terkenal di Pulau Pinang termasuk bandaraya George Town, Bukit Bendera dan Kuil Kek Lok Si.

Pengalaman tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada pertukaran budaya, malah turut mengeratkan persahabatan serta membina hubungan yang bermakna dalam kalangan peserta.

Menerusi program ini, INFORMM berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan institusi rakan strategik di China serta meletakkan asas bagi kerjasama akademik, penyelidikan dan pertukaran pelajar pada masa hadapan.

Teks: Profesor Madya Dr. Khoo Boon Yin, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM
Foto: Profesor Madya Dr. Khoo Boon Yin, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM