Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PROGRAM ASPIRASI JUARA PERKUKUH HUBUNGAN USM-PTSS

PULAU PINANG · 17 Ogos 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh hubungan dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menerusi penganjuran Program Aspirasi Juara: Eksplorasi Akademia dan Industri yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian serta hala tuju kerjaya.

Program anjuran Kelab Setiausaha USM dengan kerjasama Jabatan Perdagangan PTSS itu melibatkan 29 pelajar cemerlang bersama enam pensyarah pengiring.

Selain membuka ruang kepada pelajar mengenali dengan lebih dekat kehidupan akademik di universiti, program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama antara USM dengan PTSS.

Jabatan Perdagangan PTSS menawarkan program pengajian di peringkat diploma dalam bidang Perakaunan, Pengajian Perniagaan dan Sains Kesetiausahaan dengan penekanan terhadap pembangunan pengetahuan, kemahiran profesional serta kebolehpasaran graduan.

Antara pengisian program ialah taklimat berkaitan akademik dan peluang melanjutkan pengajian di USM, lawatan ke muzium serta sesi perkongsian bersama alumni PTSS yang kini berkhidmat di USM, khususnya dalam bidang kesetiausahaan.

Menerusi sesi Bicara Alumni: Dari Pengalaman ke Inspirasi, para pelajar berpeluang mendapatkan gambaran secara langsung mengenai perjalanan akademik, pengalaman membina kerjaya serta cabaran dan peluang yang bakal ditempuhi dalam alam pekerjaan.

Seramai 14 setiausaha turut menyertai program itu termasuk 11 alumni PTSS dan tiga wakil Ahli Jawatankuasa Kelab Setiausaha USM.

Kehadiran warga USM turut memberi peluang kepada para pelajar mendapatkan pandangan, nasihat dan perkongsian pengalaman daripada individu yang pernah melalui laluan pendidikan sama sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Perkongsian itu turut memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat bahawa laluan pendidikan tidak terhenti di peringkat diploma, sebaliknya boleh diteruskan ke peringkat pengajian lebih tinggi.

Program berkenaan diharapkan dapat menyemarakkan aspirasi pelajar cemerlang PTSS untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan profesional, di samping membuka ruang kepada mereka mengenali persekitaran universiti serta peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

Program Aspirasi Juara: Eksplorasi Akademia dan Industri merupakan antara usaha berterusan Kelab Setiausaha USM dalam memperkasa perkongsian ilmu, membina jaringan strategik serta memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar melalui interaksi bersama komuniti akademik dan profesional.

Teks: Nur Afiqah Binti Md Rejab / Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR)
Foto: Kelab Setiausaha USM