Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PROGRAM ADVOKASI PENJAGAAN OKU AUTISME PERKUKUH SOKONGAN KE ARAH MASYARAKAT INKLUSIF

PULAU PINANG · 12 Ogos 2026

Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 bertemakan “Kenali Autisme, Sokongi Inklusi” menjadi platform mempertingkat pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap individu autisme, di samping memperkukuh sokongan holistik kepada golongan berkenaan dan keluarga.

Program anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) itu memuatkan pelbagai pengisian menarik sesi perkongsian pakar, pameran perkhidmatan, bengkel interaktif dan forum perdana dalam bidang kesihatan, pendidikan, penjagaan serta pembangunan sosial.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat, JKM Negeri Pulau Pinang, Harina Ayob hadir merasmikan program yang diadakan di Sains@USM, Bukit Jambul, di sini, baru-baru ini. Hadir sama ialah Pengerusi Rancangan Program Pendidikan Khas PPIP USM, Ts. Dr. Rozniza Zaharudin.

Program dimulakan dengan perkongsian khas oleh Fulbright Specialist dari University of Georgia, Profesor Ashley Harrison menerusi topik “Global Differences in Autism Services” yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai perbandingan sistem perkhidmatan autisme di peringkat antarabangsa serta amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada individu autisme di Malaysia.

Peserta turut berpeluang mengunjungi pameran yang menampilkan pelbagai perkhidmatan, produk, terapi dan inisiatif bagi menyokong perkembangan serta kesejahteraan individu autisme dan keluarga mereka, yang disertai JKM Negeri Pulau Pinang, ZQ Handicraft, The Otter Child Development Centre, Danish Kulim Speech Therapy, Pacific Speech Therapy & Learning Centre dan Brainbow Sdn. Bhd.

Sesi Perkongsian Pakar pula menampilkan Pakar Pediatrik Perkembangan Hospital Pulau Pinang, Dr. Sathya Ramachandram yang berdiskusi secara interaktif menerusi tajuk “Perkhidmatan Kesihatan dan Sokongan untuk Individu Autisme”.

Turut berkongsi kepakaran ialah Profesor Universiti Malaya, Prof. Dr. Loh Sau Cheong yang membicarakan “Sokongan Penjagaan untuk Kanak-kanak Autisme melalui Modul MANJA”. Pensyarah Kanan PPIP USM, Dr. Nur Amalina Samsudin pula turut menyampaikan perkongsian bertajuk “Perkhidmatan Pendidikan untuk Kanak-kanak Autisme” yang menekankan kepentingan pendidikan inklusif dan intervensi awal dalam menyokong perkembangan kanak-kanak autisme.

Program turut merangkumi bengkel interaktif berkaitan komunikasi, pembacaan dan kemahiran sosial kanak-kanak autisme yang dikendalikan oleh tenaga terlatih PPIP, termasuk Dr. Phoon Hooi San, Profesor Madya Dr. Low Hui Min dan Nor Fatin Faizah Hamdan.

Sebagai pengisian penutup, Forum Perdana: Memperkasa Sokongan kepada Individu Autisme dan Keluarga dikendalikan oleh Ts. Dr. Rozniza Zaharudin sebagai moderator, dengan menampilkan Pensyarah Kanan PPIP USM, Dr. Murugesu Supermaniam; wakil AIM-HIGH, Ivan Ooi dan Dr. Tan Shi Yee; serta ibu kepada anak autisme, Puan Noor Afidah binti Mat Desa sebagai panel.

Perbincangan menekankan kepentingan kerjasama antara keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan dan masyarakat dalam memperkukuh sistem sokongan kepada individu autisme serta membina komuniti yang lebih inklusif.

Teks: Pusat Media dan Perhubungan Awam, USM
Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM