PPIK USM PERKASA AGENDA PENGANTARABANGSAAN MELALUI PROGRAM MOBILITI DAN KHIDMAT KOMUNITI DI KAMPUNG PERLIS
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan libatsama komuniti menerusi penganjuran Program Mobiliti Antarabangsa 2026: Jalinan Kasih MADANI dan Inisiatif CSR Global yang berlangsung selama lapan hari di Kampung Perlis, Balik Pulau, baru-baru ini.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PPIK USM, Fakultas Dakwah dan Komunikasi, Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh, Indonesia, serta komuniti Kampung Perlis sebagai rakan komuniti utama.
Berteraskan konsep Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM), inisiatif tersebut memberi peluang kepada mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia untuk menetap bersama keluarga angkat, menyelami kehidupan masyarakat luar bandar serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari menerusi pengalaman secara langsung bersama komuniti.
Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong berkata, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan PPIK dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan yang berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman dan pemerkasaan komuniti.
“Melalui pendekatan SULAM, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pendedahan akademik merentas sempadan, malah berpeluang memahami realiti kehidupan masyarakat setempat, membina kemahiran insaniah dan memupuk rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.
“Kerjasama strategik antara USM, UIN Ar-Raniry dan komuniti Kampung Perlis membuktikan bahawa pengantarabangsaan tidak terhad kepada pertukaran ilmu semata-mata, tetapi turut menjadi platform untuk membina persefahaman budaya, memperkukuh jaringan serantau serta menghasilkan impak yang bermakna kepada masyarakat.
“PPIK akan terus memperluaskan inisiatif seperti ini bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kepekaan sosial, kemampuan kepimpinan, dan kesediaan untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti di peringkat nasional mahupun global,” katanya.
Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan sepanjang program ialah Program Jalinan Alpha Industries, USM dan Komuniti Kampung Perlis yang menghimpunkan warga kampung, wakil industri, dan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Melalui kolaborasi tersebut, para peserta berganding bahu melaksanakan aktiviti gotong-royong keceriaan kampung selain memeriahkan tradisi kacau Bubur Asyura, sekali gus mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi, industri, dan masyarakat setempat.
Sinergi yang terjalin bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturahim merentasi pelbagai latar belakang budaya dan negara, malah menterjemahkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan, dan kesyukuran dalam mewujudkan komuniti yang harmoni serta inklusif.
Bagi melengkapkan pengisian rohani dan intelektual program, satu Forum Keluarga Sakinah turut dianjurkan dengan menampilkan wakil Alpha Industries dan barisan pensyarah USM sebagai panel jemputan.
Forum tersebut memberi penekanan kepada kepentingan memperkukuh institusi kekeluargaan sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan, dan mampu mendepani pelbagai cabaran semasa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut Dr. Jasni lagi, penglibatan langsung mahasiswa dalam program berasaskan komuniti mampu membentuk individu yang lebih memahami kepelbagaian budaya, menghargai nilai kemanusiaan, dan menghayati tanggungjawab sebagai agen perubahan masyarakat.
“Program seumpama ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk belajar di luar bilik kuliah melalui interaksi dan pengalaman sebenar bersama komuniti. Nilai-nilai kemanusiaan, empati, kepimpinan dan kerja berpasukan yang diperoleh menjadi pelengkap penting kepada pembangunan modal insan yang holistik,” tambah beliau.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program Mobiliti Antarabangsa 2026 ini bukan sahaja memantapkan hubungan dua hala antara USM dan UIN Ar-Raniry, malah mempertegaskan peranan USM sebagai universiti penyelidikan yang komited dalam melahirkan graduan berjiwa masyarakat, berfikiran global, dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
Usaha berterusan PPIK USM ini sejajar dengan aspirasi USM APEX dan cita-cita Malaysia MADANI bagi memastikan agenda kesejahteraan komuniti sentiasa diutamakan di persada kebangsaan dan antarabangsa.