USM PULAU PINANG, 17 September 2026 – Bahagian Kelestarian dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menganjurkan program ‘Bengkel Cat Botol Kaca’.
Bengkel tersebut yang dikendalikan oleh Guru Bahasa, Siti Hasnah Zainal Abidin telah dijalankan di Bangunan D35, PPBLT.
Siti Hasnah telah menyediakan beberapa peralatan melukis dan kraf seperti berus, pen kalis air, cat akrilik, dan tali, manakala para peserta pula membawa botol kaca terpakai milik sendiri dalam pelbagai saiz.
Menurut beliau, matlamat diadakan bengkel tersebut adalah untuk menggalakkan aktiviti kitar semula dan memupuk kreativiti melalui seni, selain dapat mewujudkan suasana tempat kerja positif ke arah mewujudkan kesihatan mental yang baik.
Katanya, bahan yang terhasil dari aktiviti kitar semula bahan terbuang (recycle) juga mampu mencapai nilai yang tinggi sekiranya dapat dihasilkan dengan penuh kualiti (upcycle).
Walaupun masa yang diperuntukkan agak terhad, para peserta telah dapat melengkapkan hasil seni masing-masing berpandukan beberapa idea yang telah dikongsikan serta bahan-bahan yang telah disediakan.
Peserta yang turut hadir terdiri daripada Siti Rashidah Bahrulddin, Passawee Pongthai, Salwa Abdul Jalil, dan Mazlan Hanafi Basharudin.