Delegasi dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kunjungan rasmi yang diketuai oleh Dekan PPBLT, Profesor Dr. Hazri Jamil ke Jabatan Pengurusan PDRM bertujuan menjalin kerjasama strategik antara USM dan PDRM dalam pembangunan modal insan, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai PDRM, serta memperkasa latihan kemahiran profesional bagi menyokong pelaksanaan tugas kepolisan.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Hal Ehwal Antarabangsa, Azril Ali; Penolong Pendaftar Kanan, Aizat Hisham Ahmad; serta pensyarah, Nurtasneem Ibrahim.
Delegasi USM telah disambut mesra oleh Pengarah Pengurusan PDRM, YDH CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid bersama barisan pegawai kanan.
Kedua-dua pihak kemudiannya mengadakan perbincangan rasmi dan menyatakan komitmen bersama untuk memeterai inisiatif strategik yang bakal dilaksanakan.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk bengkel bersama, modul latihan khusus serta kerangka memorandum bagi menyokong pembelajaran berterusan dan pembangunan kemahiran berkaitan dalam kalangan anggota polis.
Langkah ini dijangka membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara USM dan PDRM, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh kecekapan, profesionalisme, dan keterampilan warga pasukan keselamatan negara.