PPBLT USM, DBP LAHIRKAN 12 PENULIS CILIK PROLIFIK, SERENTAK LANCARKAN BUKU ANEKDOT 'SEBERTIH KISAH, SENYIRU MAKNA'
USM PULAU PINANG, 22 Ogos 2026 – Usaha melahirkan generasi pengarang beraspirasi tinggi dan celik digital terus membuahkan hasil apabila 12 peserta cilik berusia sembilan hingga 13 tahun berjaya menerbitkan buku anekdot sulung mereka menerusi program bimbingan penulisan berstruktur.
Buku himpunan anekdot bertajuk Sebertih Kisah, Senyiru Makna: Anekdot tentang Keluarga, Sekolah dan Kehidupan yang mengandungi 36 karya kreatif itu dilancarkan secara rasmi dalam Majlis Penutup Bengkel Menulis Anekdot: Penulis Cilik kepada Penulis Prolifik di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Program anjuran PPBLT USM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara itu menandakan kemuncak kembara penulisan tiga siri bermula 16 Mei lalu, yang turut memperkenalkan inovasi Teknik Fokus dan Jejakan serta pemanfaatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika dalam proses kreatif.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPBLT, Azril Ali. Turut hadir ialah Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Roshasliza Sulaiman yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Utara, bersama barisan pensyarah, ibu bapa dan para peserta program.
Azril berkata, penganjuran bengkel itu bukan sahaja berjaya memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan budaya membaca serta menulis dalam kalangan generasi muda, malah mengukuhkan peranan PPBLT USM sebagai pusat rujukan sastera kanak-kanak dan psikologi penulis cilik yang inovatif.
"Setiap peserta dipandu untuk menghasilkan tiga karya berbeza yang berakar teguh pada identiti bahasa kebangsaan. Penulisan mereka tidak hanya mencuit hati dan menyentuh perasaan, malah mencerminkan kematangan pemikiran serta daya saing generasi muda masa kini," katanya.
Sepanjang tiga siri bengkel, para peserta menerima bimbingan intensif daripada tenaga pengajar PPBLT iaitu Siti Hasnah Zainal Abidin dan Dr. Boh Phaik Ean. Peserta didedahkan dengan Teknik Fokus dan Jejakan - sebuah kaedah penulisan yang dipelopori oleh Muhammad Zuhair Zainal dan Siti Hasnah Zainal Abidin bagi menyusun plot secara sistematik.
Selain itu, program ini turut mencatat kelainan apabila peserta dibimbing memanfaatkan aplikasi AI secara beretika untuk merangka draf idea dan memurnikan karya sebelum proses pemuktamadan serta penerbitan.
Penganjuran beraspirasi ini membuktikan komitmen berterusan USM dan DBP dalam mengangkat bakat sastera cilik tempatan ke aras yang lebih profesional, berdaya saing, serta relevan dengan perkembangan teknologi semasa.