PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL TERUS JADI TUMPUAN, TARIK 185 PASUKAN
Sebanyak 185 pasukan dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam Pesta Hoki USM-Penang International (PHI) Ke-49 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu di Universiti Sains Malaysia (USM).
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 November itu diadakan di Padang Minden dan Stadium Hoki Kampus Induk USM serta terus mengekalkan reputasinya sebagai antara pesta hoki terbesar dan paling berprestij di negara ini sejak diperkenalkan pada tahun 1973.
Selain kategori pembangunan peringkat umur, kejohanan turut mempertandingkan kategori utama menerusi saingan Premier League, Classic Men's Open dan Classic Women's Open, sekali gus menarik penyertaan pemain serta pasukan dari pelbagai peringkat.
Majlis penyampaian hadiah bagi kategori Bawah 18 Tahun disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anwar Hashim.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Mohd Hafezi Mat Zain; Penasihat PHI Ke-49, Mustaffa Kamal Esa; pegawai-pegawai utama universiti serta barisan sekretariat pelajar.
Penganjuran edisi kali ini turut menyaksikan sambutan menggalakkan dalam kategori pembangunan atlet muda dengan penyertaan 87 pasukan melibatkan kategori Bawah 12, Bawah 15 dan Bawah 18 Tahun bagi lelaki dan perempuan.
Penyertaan antarabangsa turut menyerikan kejohanan apabila beberapa pasukan dari Sri Lanka mengambil bahagian dalam kategori Bawah 15 dan Bawah 18 Tahun, sekali gus memberi pendedahan serta pengalaman pertandingan yang lebih kompetitif kepada pemain muda tempatan.
Bagi kategori Bawah 12 Tahun, sebanyak 47 pasukan bertanding melibatkan 26 pasukan lelaki dan 21 pasukan perempuan. Kategori Bawah 15 Tahun pula menghimpunkan 30 pasukan terdiri daripada 22 pasukan lelaki dan lapan pasukan perempuan.
Sementara itu, kategori Bawah 18 Tahun melibatkan penyertaan 23 pasukan dengan 10 pasukan lelaki dan 13 pasukan perempuan, termasuk dua pasukan dari Sri Lanka bagi setiap kategori Bawah 15 dan Bawah 18 Tahun.
Kejayaan penganjuran kejohanan berskala besar itu turut didorong komitmen hampir 185 sukarelawan mahasiswa USM yang diketuai oleh pelajar Tahun 4 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dhinesaan Ravichandran, selaku Pengarah Projek PHI Ke-49.
Selain itu, kejohanan berstatus antarabangsa tersebut turut mendapat sokongan padu sektor korporat menerusi sumbangan penajaan pelbagai pihak.
MILO Malaysia sekali lagi tampil sebagai penaja utama, disokong oleh Cuckoo International Malaysia Berhad, OBO Malaysia Sdn. Bhd., Optimum Capacity Sdn. Bhd., dan Afta Motor Sdn. Bhd.
Penganjuran PHI Ke-49 bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai platform pembangunan bakat hoki negara, malah terus menyumbang kepada usaha melahirkan pemain pelapis berkualiti serta mengeratkan hubungan sukan antara negara.