PESTA BOLA JARING USM-MILO KE-32 PERKUKUH KEPIMPINAN WANITA, TARIK PENYERTAAN ANTARABANGSA
Penganjuran 32nd USM MILO Pesta Bola Jaring – Penang International 2026 bukan sahaja menghimpunkan pasukan dari dalam dan luar negara, malah menyerlahkan keupayaan mahasiswa wanita dalam menerajui pengurusan kejohanan sukan berskala besar.
Kejohanan tersebut melabuhkan tirainya pertengahan Oktober lalu menerusi Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, dan ia menzahirkan peranan universiti sebagai platform pembangunan bakat, kepimpinan dan jaringan komuniti sukan di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBJ 32, Nur Izzatul Aisyah Saiful Bahari, mengetuai pengelolaan kejohanan dengan sokongan 128 orang sekretariat dan jawatankuasa pelaksana bagi memastikan kelancaran keseluruhan program.
Penglibatan mahasiswa dalam pengurusan acara berkenaan turut membuka ruang kepada mereka untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan melalui pengalaman mengendalikan kejohanan berskala besar.
Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar berkata, penganjuran kejohanan itu membuktikan keupayaan mahasiswa untuk menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam kepimpinan, pengurusan acara dan kemahiran sosial.
“Ini jelas menunjukkan keupayaan pelajar kita bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kepimpinan, pengurusan acara dan kemahiran sosial,” katanya yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu mencerminkan pendekatan pendidikan holistik USM yang mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah dan nilai insaniah bagi melahirkan graduan berdisiplin, berkarakter serta berupaya memimpin dalam pelbagai lapangan.
Beliau juga menegaskan, sukan juga berperanan sebagai medium pembentukan jati diri mahasiswa melalui penerapan nilai kerjasama, ketahanan diri dan disiplin.
“PBJ bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform untuk mengasah bakat muda dan menanam semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 25 pasukan dari Sri Lanka, tiga pasukan dari Singapura dan sebuah pasukan dari Maldives, sekali gus memperluas interaksi antara pemain serta mengukuhkan hubungan komuniti bola jaring merentas negara.
Sebanyak lapan kategori dipertangkan, meliputi prasekolah, bawah 12 tahun, bawah 15 tahun, bawah 18 tahun, Men’s Open, Women’s Open, Institusi Pengajian Tinggi (IHL) dan Women’s Veteran.
Pengenalan kategori prasekolah menjadi antara pembaharuan edisi kali ini, sekali gus memperluas peluang penyertaan kepada golongan lebih muda dan menyokong perkembangan sukan bola jaring merentas generasi.
Kejohanan itu turut membawa legasi tersendiri apabila pernah disenaraikan sebanyak empat kali dalam Malaysian Book of Records, masing-masing pada 2003 dengan penyertaan 125 pasukan, 2005 (133 pasukan), 2010 (152 pasukan) dan 2013 (178 pasukan).
Edisi 2013 turut menyaksikan penyertaan pasukan dari Sri Lanka dan Singapura, memperlihatkan kesinambungan usaha kejohanan itu dalam membina jaringan bola jaring antarabangsa.
Sementara itu, Nur Izzatul Aisyah merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pengelola, staf Pusat Sukan dan Rekreasi USM serta semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.
Beliau turut menghargai sokongan penaja utama, MILO Malaysia, serta penaja bersama, FIGOS Sdn. Bhd. dan Optimum Capacity Sdn. Bhd., dalam menyokong pembangunan sukan dan atlet.
“PBJ adalah bukti semangat USM yang tidak pernah padam dalam memartabatkan kecemerlangan sukan,” katanya.
Beliau berharap kejohanan itu akan terus berkembang sebagai platform mencungkil bakat baharu, selain memperkukuh jaringan komuniti bola jaring di Malaysia dan rantau Asia.
“Semoga Pesta Bola Jaring USM MILO ini terus berkembang menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu dan memperkukuh jaringan komuniti bola jaring di Malaysia dan rantau Asia,” katanya.
Penganjuran edisi ke-32 itu meneruskan legasi kejohanan bola jaring USM sebagai wadah pembangunan sukan, kepimpinan mahasiswa dan hubungan antarabangsa, selaras dengan usaha universiti melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah.
Senarai Pemenang Pesta Bola Jaring:
Kategori Prasekolah
Pertama: Pasti Selangor
Kedua: Little Kenyalang
Kategori Bawah 12 Tahun
Pertama: Red Tigress
Kedua: SGNA Lions
Ketiga Bersama: APNC A / Thunderbolts
Kategori Bawah 15 Tahun
Pertama: BJSS Gems
Kedua: MBPJ B
Ketiga Bersama: MBPJ A / TATAR Princess
Kategori Bawah 18 Tahun
Pertama: Thunderhorse Stars
Kedua: BJSS Arowanas
Ketiga Bersama: Tatar Diamond / Holy Cross College Gampaha
Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT)
Pertama: MSIPGM A
Kedua: Lycan KIK
Ketiga Bersama: MSIPGM B / USM Hawk
Kategori Terbuka Wanita
Pertama: MBPJ
Kedua: DBKL
Ketiga Bersama: Arowanas / Majlis Bandaraya Diraja Klang
Kategori Terbuka Lelaki
Pertama: Netstar X
Kedua: Netstar Fury
Ketiga Bersama: Sky Hawks / JIMIX
Kategori Veteran Wanita
Pertama: MJL SR
Kedua: Blackthorn
Ketiga Bersama: Lioness / Sonas NC