USM PULAU PINANG, 20 Ogos 2026 – Lebih 150 saintis, pengamal perubatan, penyelidik, penggubal dasar dan wakil industri dari Malaysia serta luar negara berkumpul di Pulau Pinang bagi meneroka pendekatan baharu dalam pengesanan penyakit lebih awal dan rawatan yang lebih tepat menerusi teknologi diagnostik molekul dan penemuan biomarker.
Perkara itu menjadi fokus utama 8th International Conference on Molecular Diagnostics & Biomarker Discovery 2026 (MDBD 2026) yang berlangsung selama dua hari, bermula 19 hingga 20 Ogos di Dewan Marjorie 1, Iconic Marjorie Hotel, Pulau Pinang.
Persidangan anjuran Institut Penyelidikan dalam Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sokongan penaja tunggal, Thermo Fisher Scientific itu mengangkat tema “Redefining Healthcare: Multi-Omics Driven Diagnostics and Therapeutics”.
Tema berkenaan memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi terkini yang berpotensi mempercepatkan diagnosis, membolehkan rawatan bersasar serta menyokong pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih diperibadikan.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab berkata, USM sebagai universiti berstatus APEX komited memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan daripada makmal kepada manfaat sebenar untuk pesakit dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan dasar kesihatan awam yang mudah diakses.
“Di sebalik setiap sampel biologi yang kita analisis, di sebalik setiap urutan genom yang kita jalankan dan di sebalik setiap algoritma biomarker yang kita bina, terdapat seorang pesakit yang sedang menunggu jawapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Persidangan itu turut disokong oleh Journal of Molecular Diagnostics and Biomarker Discovery (JMDBD) sebagai platform penerbitan dan penyebaran hasil penyelidikan berkaitan diagnostik molekul, penemuan biomarker, perubatan tepat dan teknologi kesihatan.
Gabungan MDBD 2026 dan JMDBD dilihat mampu memperkukuh hubungan antara penemuan saintifik, perkongsian kepakaran dan pembangunan teknologi, selain membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi serta penterjemahan hasil penyelidikan kepada aplikasi praktikal.
Kerjasama antara akademia dan industri turut diberi penekanan menerusi penglibatan Thermo Fisher Scientific sebagai penaja tunggal persidangan.
Cik Imelia Wong berkata, masa depan penjagaan kesihatan memerlukan gabungan kepakaran saintifik, data, teknologi dan keupayaan manusia untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Masa depan penjagaan kesihatan akan dibentuk bukan hanya oleh satu teknologi atau satu penemuan, tetapi oleh keupayaan kolektif kita untuk mengumpulkan sains, data, teknologi dan manusia,” katanya.
MDBD 2026 diharapkan terus menjadi platform yang memperkukuh jaringan komuniti saintifik dan kesihatan, sekali gus menyokong usaha menghasilkan penemuan yang dapat mengubah cara penyakit difahami, dikesan dan dirawat serta membentuk masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia.