PERPADUAN SENI, CAHAYA, DAN KEUSAHAWANAN SEMARAKKAN ConvEx Food Fable: Once Upon A Bite X We Lit 6.0: Enchantée
Program ConvEx Food Fable: Once Upon A Bite X We Lit 6.0: Enchantée 2026 yang menggabungkan kesenian cahaya dan keusahawanan telah berjaya menarik penyertaan seramai 700 orang peserta daripada kalangan warga kampus dan orang awam.
Dirasmikan pada 6 Oktober 2026, program tersebut disempurnakan oleh Ketua Pentadbir, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM, Siti Aishah Abdul Raffar.
Siti Aishah dalam ucapannya berharap agar program berkenaan dapat mencapai matlamat dengan menarik lebih ramai lagi pengunjung pada masa hadapan.
Beliau berkata, elemen HEBAT yang diperkenalkan menerusi sistem gerak kerja ConvEx berupaya memperkukuh kecekapan pelajar dalam aspek pentadbiran dan pengurusan perniagaan secara profesional melalui penglibatan langsung bersama 70 pengusaha makanan dan minuman.
Menurutnya lagi, berteraskan konsep Enchantée, program ini membawakan pengalaman unik yang dipenuhi cahaya, imaginasi, dan kesenian menerusi penyalaan lilin sebagai simbol harapan, kebersamaan, dan keharmonian.
“Selain meraikan kepelbagaian budaya dan mengeratkan hubungan sosial, inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui kempen Earth Hour,” tambahnya.
Kemuncak program yang berlangsung semalam turut menyaksikan kehadiran Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar, dan dimeriahkan dengan acara penutup We Lit yang menggunakan hampir 2,500 batang lilin.
ConvEx merupakan program tahunan flagship anjuran BHEPA USM yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa melalui Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConvEx).
Program ini menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang melatih mahasiswa dalam aspek kepimpinan, pengurusan acara, keusahawanan, pengurusan kewangan, dan komunikasi, selaras dengan pembangunan lima elemen H.E.B.A.T., iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking.
Bagi tahun 2026, ConvEx dilaksanakan dalam empat fasa bermula Mei hingga November dengan tema “Web-Reality”, yang menggambarkan peralihan mahasiswa daripada dunia akademik kepada realiti kehidupan dan kerjaya.
Program ini diadakan bersempena Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang akan berlangsung dari 24 November hingga 1 Disember 2026, sekali gus menjadi medan penting untuk memperkasa kompetensi, kepimpinan, dan kebolehpasaran graduan USM.