Skip to main content

PERDANA MENTERI IKTIRAF USM SEBAGAI PENERAJU BAKAT SEMIKONDUKTOR NEGARA

Berita Utama SEBERANG PERAI, 24 Julai 2026

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) atas pengiktirafan sebagai pembangun bakat semikonduktor negara dan peneraju dalam pembangunan ekosistem semikonduktor Bumiputera.

Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai langkah strategik yang selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh industri semikonduktor berteknologi tinggi, di samping melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga pakar tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Aktiviti Pameran Semikonduktor USM 1

Bagi merealisasikan agenda tersebut, Kerajaan MADANI memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta kepada USM bagi membangunkan Hab Semikonduktor Bumiputera.

Perdana Menteri berharap USM dapat memanfaatkan peruntukan berkenaan dengan meneroka idea baharu, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta menghimpunkan kepakaran daripada ahli akademik, industri, dan rakan strategik bagi mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor Bumiputera yang mampan, berdaya saing, dan mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Aktiviti Pameran Semikonduktor USM 2

Dalam masa yang sama, USM melalui Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) diberi kepercayaan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menonjolkan keunggulan universiti dalam pembangunan bakat, penyelidikan, dan teknologi semikonduktor melalui penyediaan reruai khas sempena Penang International Halal Expo (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) 2026.

Bertempat di Politeknik Seberang Prai, pameran pada hari pertama dan kedua memberi tumpuan kepada rekabentuk cip, penyelidikan pembangunan cip, pembuatan wafer GaN, pembangunan prototaip LED, penyelidikan berkaitan ‘Advanced Packaging’ serta syarikat-syarikat terbitan dalam bidang berkaitan.

Aktiviti Pameran Semikonduktor USM 3

Antara Pusat Tanggungjawab (PTj) USM yang terlibat ialah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik. Reruai USM turut disertai oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) yang mempromosikan program pengajian sambilan dan APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning). Program pembangunan bakat MRI3 dan SIAP juga diketengahkan oleh Pejabat Jaringan Industri, BJIM dan CEDEC.

Aktiviti Pameran Semikonduktor USM 4

Pemerkasaan sektor semikonduktor digerakkan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara USM dengan rakan industri strategik, agensi Kerajaan, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). USM terus komited dalam menjayakan agenda negara iaitu Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy, NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan, NIMP 2030).

Usaha bersepadu ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan teknologi, malah turut menyumbang kepada pembinaan bakat bertaraf dunia yang mampu memacu Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Teks: Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil (Pengarah Jaringan Industri, BJIM USM)
Suntingan: Tan Ewe Hoe & Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Mohd Fairus Md Isa
Diterbitkan pada: 25 Julai 2026