Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PENYERTAAN MAHASISWA PPSK PERKASA WACANA EKONOMI DI YEF 2026

PULAU PINANG · 7 Oktober 2026

Seramai 40 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), menyertai Youth Economic Forum 2026 (YEF 2026) di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bagi memperluas pemahaman tentang perkembangan ekonomi dan hala tuju pembangunan negara.

Berlangsung pada 3 Oktober 2026, YEF 2026 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA) mengangkat tema “Decoding the Next Decade: Advancing Malaysia’s Economic Frontier” dengan memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan, impak sosial dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti, tenaga hijau menerusi amalan lestari dan keusahawanan hijau, serta pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasa inovasi digital.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, forum tersebut turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengikuti perbincangan resolusi dan dialog polisi bersama pemegang taruh daripada pelbagai sektor, sekali gus menghubungkan perspektif golongan muda dengan isu ekonomi dan pembangunan negara.

Peserta USM turut disertai Syed Ali Syed Abd Rahman dan Alisha Sofea Muhd Hafeez, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) interim USM daripada PPSK, yang berpeluang menelusuri wacana ekonomi semasa, bertukar pandangan, dan memperluas jaringan sambil memahami peranan generasi muda dalam mendepani cabaran ekonomi serta pembangunan negara.

Penglibatan mahasiswa dalam wacana tersebut turut diperkaya dengan perkongsian panel dan penceramah berprofil tinggi termasuk YB Datuk Seri Johari, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital serta YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Malaysian Investment Development Authority (MIDA), yang mengupas aspek kepimpinan, inovasi, dan peranan generasi muda dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia.

Penglibatan dalam YEF 2026 memperkukuh pemahaman mahasiswa USM terhadap landskap ekonomi semasa, di samping menyemai keberanian untuk bersuara, berfikir secara kritis, dan mencetuskan idea yang mampu menyumbang kepada pembentukan ekonomi Malaysia yang lebih berdaya saing, inklusif, dan lestari.

Teks: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) interim Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), USM / Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Foto: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) interim Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), USM