Skip to main content

Penyelidik USM Terima Geran Penyelidikan di Festival Idea Putrajaya 2026

Sebanyak RM8.51 juta diluluskan kepada 66 penyelidik USM menerusi dua fasa Skim Geran Penyelidikan Exploratori dan Transformatif.

PUTRAJAYA, 17 November 2026 – Seramai 66 penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kelulusan pembiayaan berjumlah RM8,513,242.26 menerusi Skim Geran Penyelidikan Exploratori dan Transformatif bagi tahun 2026.


Daripada 66 penyelidik itu, 36 menerima pembiayaan bagi Fasa 1, manakala 30 lagi bagi Fasa 2. Naib Canselor USM menerima watikah penganugerahan bagi pihak universiti pada majlis sempena Festival Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Skim baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menggantikan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS).

Melalui pembiayaan ini, penyelidik USM dapat meneroka persoalan baharu, menguji hipotesis dan menilai kebolehlaksanaan pendekatan yang dicadangkan. Pada peringkat awal, dapatan kajian membantu penyelidik mengenal pasti perkara yang perlu diperhalusi, jurang pengetahuan yang masih perlu ditangani dan idea yang mempunyai asas untuk diteruskan.

Bagi kajian yang menunjukkan potensi, dapatan awal boleh menjadi asas kepada pengujian lanjut, pembangunan prototaip atau kerjasama dengan rakan industri dan komuniti. Penglibatan pihak yang bakal menggunakan hasil penyelidikan juga dapat membantu penyelidik memahami keperluan sebenar dan menilai kesesuaian pendekatan mereka dalam keadaan sebenar.

Melalui pembiayaan ini kepada USM ia akan memberi ruang kepada penyelidik untuk membina bukti sejak peringkat penerokaan dan menggunakan bukti tersebut bagi menentukan langkah seterusnya, sama ada untuk memperdalam pemahaman tentang sesuatu masalah atau membangunkan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan industri.

Teks: Profesor Dr. Norli Ismail
Photo: Shahnizam Ab Rahim & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)