Penyelidik USM Raih Anugerah Saintis Muda Negara 2026, Teroka Teknologi Analisis Antibiotik
Pensyarah Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Noorfatimah Yahaya mengharumkan nama universiti apabila menerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026 atas kecemerlangan dan sumbangannya dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi.
Pengiktirafan berprestij oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menyerlahkan kepakaran beliau dalam bidang Kimia Analisis, khususnya pembangunan teknologi pemisahan molekul terpilih yang menawarkan pendekatan lebih sensitif, pantas dan mesra alam bagi mengesan antibiotik pada kepekatan yang sangat rendah.
Menerusi penyelidikan bertajuk Memacu Sains Pemisahan Molekul Terpilih ke Arah Teknologi Analisis Hijau dan Berimpak Tinggi, Noorfatimah memberi tumpuan kepada pembangunan kaedah analisis inovatif bagi menangani isu kerintangan antibiotik yang semakin membimbangkan di peringkat global.
Menurut beliau, kerintangan antibiotik merupakan antara cabaran utama dalam bidang kesihatan kerana boleh menyebabkan rawatan menjadi kurang berkesan, meningkatkan risiko komplikasi dan membawa kepada kematian.
Kehadiran sisa antibiotik walaupun pada kepekatan yang sangat rendah dalam persekitaran turut berpotensi menyumbang kepada perkembangan kerintangan antibiotik, sekali gus menuntut pembangunan kaedah pengesanan yang lebih cekap dan tepat.
Bagi menangani cabaran tersebut, beliau telah membangunkan teknologi MembraSense yang menggabungkan kaedah analisis mikro dengan bahan polimer cetakan molekul yang mempunyai keupayaan memilih dan mengesan antibiotik secara khusus.
Teknologi berkenaan membolehkan analisis antibiotik pada paras nano dijalankan dengan lebih sensitif, pantas dan tepat, di samping mengurangkan kebergantungan kepada instrumen analisis yang mahal dan kompleks.
MembraSense kini sedang melalui proses penambahbaikan untuk membolehkan penggunaannya pada skala lebih besar serta memenuhi keperluan piawaian antarabangsa, termasuk ISO, bagi aplikasi di makmal pengujian makanan dan alam sekitar.
Tidak terhad kepada pemantauan alam sekitar, kepakaran Noorfatimah turut diperluas kepada bidang perubatan menerusi pembangunan sistem penentuan dos antibiotik yang disesuaikan dengan keperluan individu pesakit.
Melalui kerjasama penyelidikan merentas disiplin kimia, farmasi dan pembelajaran mesin, beliau bersama pasukan penyelidik telah membangunkan sistem penentuan dos antibiotik Unasyn yang menggabungkan teknologi analisis mikro, kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran farmaseutikal.
Pendekatan tersebut berpotensi membantu pakar perubatan menentukan dos antibiotik dengan lebih tepat berdasarkan ciri serta keperluan pesakit, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan dan mengurangkan risiko ketoksikan, khususnya dalam kalangan pesakit kritikal.
Pembangunan kedua-dua teknologi itu turut membuka peluang untuk memperkukuh keupayaan makmal pengujian tempatan, meningkatkan keselamatan makanan, mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta menyokong usaha mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan negara.
Bagi Noorfatimah, kejayaan penyelidikan tidak seharusnya diukur melalui pencapaian saintifik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu memberikan manfaat sebenar kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama merentas bidang dalam menghasilkan penyelidikan yang lebih menyeluruh, khususnya bagi menangani cabaran kompleks yang melibatkan kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar.
“Jangan berhenti berusaha menyelesaikan matlamat sebenar kajian kita dan bekerjasamalah merentas bidang untuk manfaat dan impak yang lebih besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Pengiktirafan melalui Anugerah Saintis Muda Negara 2026 ini sekali gus memperlihatkan keupayaan penyelidik USM dalam menghasilkan inovasi sains dan teknologi yang berpotensi menyumbang kepada kemajuan sektor kesihatan, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.