PENTAS DIBUKA, BAKAT DISERLAH: VARIASISWA USM JADI MEDAN MAHASISWA BERSINAR
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh pembangunan potensi mahasiswa menerusi penganjuran Malam Variasiswa USM Sidang Akademik 2026/2027 yang menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, menyemarakkan kreativiti serta mengeratkan hubungan dalam kalangan mahasiswa khususnya pelajar baharu.
Berteraskan tema “USM for the Future: The Rhythm of Sustainable Global Impact”, program ini mengangkat seni bukan sekadar sebagai medium hiburan, malah sebagai wadah membina jati diri, memupuk nilai kebersamaan dan menyemai kesedaran terhadap kelestarian sejagat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).
Menurut beliau, penganjuran program ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan kebolehan, membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.
“Saya juga berkeyakinan bahawa program seperti ini bukan sahaja membina keyakinan diri dan bakat mahasiswa, tetapi turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama, komunikasi dan pemikiran kritis,” katanya.
Kemuncak acara menyaksikan para peserta mempersembahkan kreativiti dan keunikan masing-masing dalam kategori persembahan yang berlangsung dengan penuh semangat.
Bagi kategori Persembahan, Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan berjaya merangkul tempat pertama, diikuti Desasiswa Murni Nurani di tempat kedua dan Desasiswa Restu di tempat ketiga. Keputusan tersebut memperlihatkan usaha, komitmen serta kesungguhan para peserta dalam menghasilkan persembahan yang kreatif.
Keghairahan dan semangat berpasukan turut memeriahkan pertandingan kategori Sorakan yang menyaksikan Desasiswa Murni Nurani muncul sebagai juara, manakala Desasiswa Saujana memperoleh tempat kedua dan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan di tempat ketiga. Sorakan yang dipersembahkan bukan sahaja mencerminkan kreativiti dan kesepaduan setiap kumpulan, malah menjadi simbol semangat kekitaan.
Sementara itu, Anugerah Khas Juri telah diberikan kepada Desasiswa Tekun sebagai pengiktirafan terhadap keistimewaan dan nilai tersendiri yang ditampilkan sepanjang pertandingan.
Kejayaan penganjuran Malam Variasiswa turut didukung oleh dedikasi jawatankuasa penganjur, pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran program yang bermula daripada perancangan, latihan dan persediaan teknikal hinggalah pelaksanaan acara.
Secara keseluruhannya, Malam Variasiswa USM Sidang Akademik 2026/2027 bukan sekadar pentas pertandingan, sebaliknya menjadi ruang bermakna untuk mahasiswa yang juga membuktikan bahawa setiap mahasiswa mempunyai ruang untuk bersinar. Usaha berterusan dalam menyediakan platform pembangunan bakat seperti ini diharap dapat menyemarakkan lagi budaya kampus yang dinamik, inklusif dan berdaya saing sekaligus melahirkan generasi mahasiswa yang mampu membawa nama USM ke peringkat yang lebih tinggi.