PENSYARAH UNIVERSITAS NEGERI SEMARANG (UNNES) PERKUKUH JALINAN KERJASAMA AKADEMIK BERSAMA USM
USM, PULAU PINANG, 5 Ogos 2026 - Seramai lima orang pensyarah daripada Fakultas Ekonomika dan Bisnis (FEB), Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia telah mengadakan kunjungan akademik ke Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah serta mobiliti akademik.
Delegasi UNNES, Dr. Vitradesie Noekent yang juga merupakan Ahli Senat UNNES menyatakan kunjungan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi menerusi jaringan akademik yang lebih erat.
Beliau yang juga ketua delegasi berkenaan turut menyatakan hasrat UNNES untuk meneroka dan membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif kerjasama pada masa hadapan.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi UNNES turut mengadakan sesi perkongsian ilmu yang mengetengahkan dua topik utama iaitu Future of Work: Insights from Indonesia dan Contemporary Business Insights from Indonesia.
Sesi ini memberi pendedahan kepada warga akademik USM mengenai perkembangan semasa dunia pekerjaan, transformasi perniagaan serta landskap ekonomi di Indonesia, sekali gus merangsang pertukaran idea dan pengalaman antara kedua-dua institusi.
Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob yang meraikan kunjungan UNNES pula menegaskan, lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada pensyarah, penyelidik dan pelajar.
Beliau berharap perbincangan yang diadakan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penerbitan berimpak tinggi, pertukaran kepakaran serta program mobiliti akademik yang mampu meningkatkan kecemerlangan kedua-dua institusi di peringkat serantau dan antarabangsa.
Lawatan ini turut membuktikan komitmen PPPJJ USM dalam memperluaskan jaringan kerjasama global selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi melalui kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi terkemuka di rantau ASEAN.