PENSYARAH FIZIK USM TERPILIH KONGSI KEPAKARAN CUACA ANGKASA DAN AI DI BENGKEL ANTARABANGSA PBB/KOREA SELATAN
Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Idahwati Sarudin, telah mengharumkan nama universiti apabila terpilih sebagai salah seorang pembentang kertas penyelidikan di United Nations/Republic of Korea Workshop on the International Space Weather Initiative (ISWI): AI-Enabled Space Weather for Global Cooperation and Capacity Building, yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan dari 7 hingga 11 September 2026.
Bengkel berprestij itu dianjurkan bersama oleh United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) dan Korea Space Weather Center (KSWC) di bawah Korea AeroSpace Administration (KASA).
Penganjuran program tersebut turut mendapat sokongan pelbagai institusi dan agensi antarabangsa, antaranya Kementerian Luar Negeri Korea Selatan (MoFA), Korea Astronomy and Space Science Institute (KASI), Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST), dan Committee on Space Research (COSPAR).
Dr. Idahwati berjaya terpilih menerusi proses saringan dan pemilihan yang amat kompetitif melibatkan penyertaan penyelidik dari pelbagai negara.
Dalam bengkel tersebut, beliau membentangkan hasil penyelidikan bertajuk “Ground-Based Observations of Equatorial Upper Atmospheric Dynamics in Southeast Asia: Thermospheric Wind Variability and AI-Hybrid Detection of Plasma Bubble Structures.”
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada pemerhatian berasaskan dasar terhadap dinamik atmosfera atas di kawasan khatulistiwa, khususnya variasi angin termosfera dan penggunaan pendekatan hibrid kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan struktur gelembung plasma di rantau Asia Tenggara.
Penyelidikan berkenaan menyumbang kepada usaha memahami fenomena cuaca angkasa yang boleh memberi kesan kepada sistem komunikasi, navigasi satelit, dan teknologi moden.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan penyelidikannya, Dr. Idahwati turut menerima tajaan penuh daripada jawatankuasa penganjur yang merangkumi kos penginapan serta makan dan minum sepanjang program berlangsung.
Menurut beliau, penyertaan dalam bengkel tersebut membuka peluang yang amat berharga untuk berkongsi hasil penyelidikan dengan komuniti saintifik antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama strategik dalam bidang cuaca angkasa dan kecerdasan buatan.
“Penyertaan saya dalam bengkel ini merupakan satu peluang yang amat bermakna untuk berkongsi hasil penyelidikan bersama komuniti saintifik global, khususnya dalam bidang cuaca angkasa dan aplikasi kecerdasan buatan. Selain memperkaya perspektif penyelidikan, platform ini turut membuka ruang kerjasama baharu dengan pakar-pakar terkemuka dari seluruh dunia,” katanya.
Selain sesi pembentangan penyelidikan, bengkel tersebut turut membincangkan pelbagai topik berkaitan cuaca angkasa termasuk sumber suria dan penyebaran heliosfera, impak geoangkasa terhadap Bumi, pemodelan dan ramalan berasaskan AI, serta pembangunan instrumentasi dan pendidikan dalam bidang cuaca angkasa.
Penyertaan aktif penyelidik USM dalam program antarabangsa seumpama ini selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh kecemerlangan penyelidikan berimpak tinggi serta meningkatkan keterlihatan institusi di peringkat global.
Kejayaan ini juga mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkasa penyelidikan sains angkasa dan teknologi kecerdasan buatan melalui penglibatan dalam inisiatif antarabangsa seperti International Space Weather Initiative (ISWI) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di samping itu, penganjuran bengkel tersebut turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui pengukuhan kapasiti penyelidikan, perkongsian ilmu, dan kerjasama rentas negara.