Skip to main content

PENGERUSI LGU TINJAU USM@KL, BERI TUMPUAN KEPADA PENGALAMAN PELAJAR DAN PENINGKATAN KEMASUKAN

Pengerusi LGU Tinjau USM@KL USM@KL

PENGERUSI LGU TINJAU USM@KL, BERI TUMPUAN KEPADA PENGALAMAN PELAJAR DAN PENINGKATAN KEMASUKAN

Tarikh: 6 Ogos 2026  |  Lokasi: Kuala Lumpur Foto: MPRC@USM
Lawatan Pengerusi LGU ke USM@KL - Foto 1

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2026 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said hari ini mengadakan lawatan ke USM@KL bagi meninjau perkembangan operasi, kemudahan dan persekitaran akademik yang disediakan kepada staf serta pelajar.

USM@KL kini beroperasi di MoF Inc. Tower, Platinum Park, Persiaran KLCC, yang terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran, korporat dan perniagaan utama negara.

Kedudukan tersebut memberikan kelebihan kepada USM untuk memperluas akses kepada pendidikan pascasiswazah berkualiti, khususnya kepada golongan profesional, penjawat awam, pemimpin industri dan masyarakat di sekitar Lembah Klang.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM yang baharu, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Pengarah USM@KL, Profesor Madya Dr. Hasrina Mustafa; Pengarah Pejabat Antarabangsa, Profesor Dr. Lee Keat Teong; serta Timbalan Pengarah USM@KL, Dr. Afzal Izzaz Zahari.

Lawatan Pengerusi LGU ke USM@KL - Foto 2

Dalam lawatan singkat itu, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan berkesempatan meninjau ruang pembelajaran, kemudahan staf dan pelajar serta keperluan utama bagi menyokong pelaksanaan program akademik serta proses pengajaran dan pembelajaran di USM@KL.

Beliau turut berinteraksi dengan staf dan pelajar bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai pengalaman pembelajaran, tahap keselesaan kemudahan serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan program akademik USM di Kuala Lumpur dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Lawatan Pengerusi LGU ke USM@KL - Foto 3

Lawatan tersebut turut memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kemasukan pelajar ke USM@KL, termasuk memperkukuh promosi program, meningkatkan keterlihatan USM dalam kalangan komuniti profesional di Kuala Lumpur serta membina jaringan lebih erat dengan sektor industri, agensi kerajaan dan organisasi korporat.

Lokasi USM@KL di tengah-tengah Kuala Lumpur boleh dimanfaatkan untuk menawarkan program akademik yang lebih fleksibel, responsif dan relevan dengan keperluan semasa.

Pendekatan ini penting bagi menarik lebih ramai calon pascasiswazah, khususnya mereka yang ingin melanjutkan pengajian tanpa meninggalkan kerjaya masing-masing.

Lawatan Pengerusi LGU ke USM@KL - Foto 4

USM@KL juga berpotensi diperkasakan sebagai platform bagi memperluas kerjasama industri, perkongsian ilmu, pendidikan eksekutif, pembelajaran sepanjang hayat dan jaringan alumni di Lembah Klang.

Lawatan ini mencerminkan komitmen kepimpinan universiti untuk terus memperkukuh mutu akademik, pengalaman pelajar dan keberkesanan perkhidmatan di USM@KL.

Dengan lokasi yang strategik serta kekuatan kepakaran dan jenama USM, USM@KL berpotensi menjadi gerbang utama universiti di ibu negara, di samping memperluas akses kepada pendidikan pascasiswazah dan pembangunan profesional.

Lawatan Pengerusi LGU ke USM@KL - Foto 5
Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan MPRC@USM
Foto: MPRC@USM
Universiti Sains Malaysia (USM) © 2026