PENERBIT USM MARTABATKAN PENULIS MELALUI MAJLIS SANJUNGAN KARYA 2026
Penerbit USM terus memperkukuh komitmennya dalam mengiktiraf sumbangan dan pencapaian para penulisnya menerusi penganjuran Majlis Sanjungan Karya 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, USM, baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; serta Profesor Madya Dr. Lee See Keong yang mewakili Ketua Sidang Pengarang Bulletin of Mathematical Sciences Society.
Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Rahman menegaskan bahawa kecemerlangan warga akademik dalam bidang penulisan dan penerbitan merupakan antara tonggak penting yang mencerminkan ketamadunan ilmu serta kecemerlangan sesebuah universiti penyelidikan.
Beliau turut menyatakan bahawa penghasilan karya ilmiah bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu, malah berperanan penting dalam menyebarluaskan hasil penyelidikan dan kepakaran akademik kepada masyarakat serta komuniti antarabangsa.
"Kejayaan yang diraikan pada hari ini membuktikan potensi besar warga USM dalam memperkaya khazanah ilmu. Oleh itu, saya menggalakkan ahli akademik, penyelidik, dan pakar bidang untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini," jelas beliau.
Antara pengisian utama majlis ialah pelancaran 54 judul buku baharu terbitan Penerbit USM yang menghimpunkan sumbangan kepakaran daripada 92 orang penulis.
Daripada jumlah tersebut, empat judul merupakan hasil kerjasama strategik penerbitan antara Penerbit USM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus memperlihatkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkaya penerbitan ilmu dalam bahasa Melayu.
Majlis turut menyaksikan dua pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem penerbitan ilmiah USM, iaitu pengindeksan judul-judul terbitan Penerbit USM dalam pangkalan data pengindeksan antarabangsa, Scopus, serta pelancaran Panduan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) khusus untuk warga Penerbit USM.
Inisiatif ini bertujuan membimbing penggunaan teknologi AI secara beretika dan bertanggungjawab, di samping menyokong amalan penulisan serta penerbitan yang selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Terdahulu, Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong, telah membentangkan laporan pencapaian Penerbit USM sepanjang tahun 2026 yang merangkumi perkembangan produktiviti penerbitan, pengukuhan strategi pemasaran, dan promosi menerusi platform media baharu, serta peluasan jaringan kerjasama strategik dalam industri penerbitan.
Penganjuran Majlis Sanjungan Karya 2026 bukan sekadar menjadi platform penghargaan kepada para penulis, malah mencerminkan kesungguhan USM dalam membudayakan penerbitan ilmu, memperkukuh kecemerlangan akademik, dan memperluas jangkauan hasil penyelidikan tempatan ke peringkat antarabangsa.
Melalui inisiatif seumpama ini, Penerbit USM akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin penerbitan ilmiah berkualiti tinggi, sekali gus memastikan ilmu dan hasil penyelidikan universiti dapat didokumentasikan, dikongsi serta dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih meluas.