Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PENANG MASTER BUILDERS TAJA HADIAH PINGAT EMAS UNTUK PELAJAR TERBAIK KEJURUTERAAN AWAM USM

PULAU PINANG · 14 Ogos 2026

PULAU PINANG, 14 Ogos 2026 — Penang Master Builders (PMB) menyumbang RM32,500 kepada Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menaja Hadiah Pingat Emas USM untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar terbaik tahun akhir Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian.

Penajaan itu sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara USM dan industri dalam usaha melahirkan bakat kejuruteraan berkualiti yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sumbangan itu amat signifikan dan selari dengan usaha universiti memperkasa jaringan serta kerjasama dengan industri yang telah dibangunkan selama lebih 15 tahun.

“Kerjasama antara industri dan akademia amat penting bagi memastikan kita dapat menghasilkan bakat terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan replika cek di sini hari ini.

Anugerah berkenaan akan mula diberikan pada Sesi Akademik 2026/2027 kepada pelajar terbaik tahun akhir dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM.

Bagi memperkasakan impak pengiktirafan itu, nilai hadiah wang tunai yang mengiringi pingat emas dan sijil penghargaan turut ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000.

USM kini menawarkan sekurang-kurangnya 30 Hadiah Pingat Emas dalam pelbagai bidang pengajian, selain pelbagai Hadiah Buku yang mengiktiraf kecemerlangan pelajar dari tahun pertama hingga tahun akhir.

Sementara itu, Presiden PMB, Tan Yee Churd, berkata, penajaan berkenaan mencerminkan komitmen persatuan itu dalam menyokong agenda pendidikan serta pembangunan modal insan negara, terutama menjelang sambutan ulang tahun ke-150 persatuan berkenaan pada tahun hadapan.

Menurutnya, penajaan itu juga merupakan kesinambungan sokongan PMB terhadap USM selepas persatuan itu pernah menaja anugerah emas untuk Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PBP) USM pada 2016.

“Diharapkan penajaan dan kerjasama strategik ini dapat menjadi medium kukuh dalam memupuk kecemerlangan akademik pelajar serta merapatkan hubungan antara akademia dan industri demi pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Teks: Pusat Media dan Perhubungan Awam
Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam