Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

Pelajar SMK Cherang Ruku Teroka Ilmu Anatomi Manusia di USM

KUBANG KERIAN · 15 Oktober 2026
Pelajar SMK Cherang Ruku meneliti model anatomi tangan di Muzium Anatomi USM
Pelajar SMK Cherang Ruku meneliti model anatomi tangan semasa lawatan ke Muzium Anatomi USM.

Seramai 40 pelajar Tingkatan Lima bersama lima guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM).

Lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai bidang anatomi manusia melalui pelbagai bahan pengajaran dan pameran yang disediakan di muzium berkenaan.

Sesi penerangan kepada pelajar SMK Cherang Ruku di Muzium Anatomi USM
Sesi penerangan kepada para pelajar semasa lawatan ke Muzium Anatomi USM.

Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mempelajari struktur anatomi manusia secara langsung melalui pemerhatian terhadap spesimen mayat dan organ manusia yang telah diawet.

Selain itu, para pelajar turut diberikan penerangan oleh kakitangan Muzium Anatomi mengenai teknik pengawetan serta kaedah pengendalian mayat yang digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Lawatan diakhiri dengan sesi kuiz ringkas bagi menguji tahap kefahaman para pelajar terhadap pengetahuan anatomi manusia yang diperoleh sepanjang program tersebut.

Sekumpulan pelajar SMK Cherang Ruku bergambar di ruang pameran Muzium Anatomi
Sebahagian pelajar SMK Cherang Ruku bergambar di ruang pameran Muzium Anatomi.

Program seumpama ini menjadi platform pembelajaran di luar bilik darjah yang membolehkan pelajar memperoleh pengalaman secara langsung dalam meneroka bidang sains perubatan, khususnya anatomi manusia.

Teks & Foto: Nik Ahmad Shah Nik Lah, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM