Skip to main content

PELAJAR INDIA TEROKAI AI UNTUK PENYELIDIKAN, PERNIAGAAN DIGITAL DI USM

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 24 September 2026

Pelajar Parul University, India meneroka aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam metodologi penyelidikan, perniagaan digital dan pemasaran menerusi program mobiliti akademik yang berlangsung di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM), di sini baru-baru ini.

Program selama enam hari itu menggabungkan bengkel akademik, latihan amali, pendedahan industri dan pengalaman budaya, sekali gus memberi peluang kepada peserta memahami penggunaan teknologi dalam penyelidikan serta menghubungkan pembelajaran akademik dengan amalan perniagaan dalam persekitaran antarabangsa.

Dalam komponen penyelidikan, peserta didedahkan kepada pembangunan cadangan kajian dengan bantuan AI, bermula daripada penjanaan idea dan pembentukan persoalan kajian hingga sorotan literatur serta pembacaan kritis.

Penyelaras program, Dr. Rafisah Mat Radzi berkata, pengisian turut merangkumi reka bentuk instrumen, pengumpulan data serta pendekatan penyelidikan kuantitatif dan kualitatif dalam bidang pengurusan.

“Peserta turut mengikuti bengkel akademik bersama fasilitator bagi mendalami aplikasi AI dalam pembangunan cadangan penyelidikan, selain melengkapkan penguasaan melalui pembentangan cadangan penyelidikan ringkas berbantukan AI, sesi maklum balas dan refleksi.

“Bagi komponen perniagaan digital pula, bengkel strategi visual dan fotografi produk menggunakan telefon pintar memberi pendedahan kepada peserta mengenai penghasilan bahan promosi,” katanya.

Aktiviti fotografi secara berkumpulan memberi ruang kepada peserta mengaplikasikan teknik persembahan produk, di samping memahami strategi pemasaran, penggunaan platform digital dan peluang perniagaan.

Tambah beliau, peserta turut mempraktikkan teknik pencahayaan dan fotografi produk menggunakan telefon pintar bagi menghasilkan bahan promosi untuk pemasaran digital.

“Pembelajaran di luar bilik kuliah pula merangkumi lawatan ke Galeri Batik di Teluk Bahang dan Penang Tropical Fruit Farm bagi mengenali kegiatan perusahaan tempatan.

“Lawatan ke kawasan warisan George Town, Bukit Bendera dan The Habitat turut memperkenalkan peserta kepada warisan budaya serta kekayaan alam semula jadi Pulau Pinang,” katanya.

Program yang menyokong aspirasi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat) itu turut menghimpunkan perkongsian kepakaran pensyarah dan fasilitator dalam bidang penyelidikan serta pemasaran digital.

Secara keseluruhannya, program mobiliti berkenaan membuka ruang kepada pelajar Parul University memperluas pengalaman pembelajaran antarabangsa dan membina jaringan akademik menerusi gabungan pendidikan, aplikasi teknologi dan interaksi rentas budaya.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM