Skip to main content

5,758 PELAJAR BAHARU ANGKAT IKRAR, RASMI BERGELAR WARGA USM

Berita USM - Pelajar Baharu Angkat Ikrar
BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 21 September 2026

USM PULAU PINANG, 21 September 2026 — Seramai 5,758 pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang Akademik 2026/2027 mengangkat ikrar sebagai simbolik menjadi warga baharu universiti pada Majlis Sambutan Siswa (MSS), Program Siswa Lestari di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini baru-baru ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada pelajar baharu yang berjaya memperoleh tempat di USM daripada lebih 37,000 permohonan bagi sidang akademik kali ini.

Daripada jumlah tersebut, USM turut menerima 999 pelajar antarabangsa dari 37 negara, sekali gus menyertai komuniti universiti bagi memulakan perjalanan akademik mereka bersama USM.

“Kepada semua mahasiswa, jadikan peluang menuntut ilmu di USM sebagai titik perubahan diri dan keluarga. Beranilah berdikari, meneroka dan mencipta peluang tanpa dibatasi latar belakang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis berkenaan.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya memanfaatkan kehidupan di universiti bukan semata-mata untuk memperoleh ijazah, sebaliknya membina diri sebagai individu berilmu, berdaya tahan dan mampu mengangkat martabat keluarga.

Dalam mendepani perubahan teknologi, Abdul Rahman menyeru mahasiswa supaya menguasai kompetensi digital, literasi data dan pemikiran berasaskan teknologi secara kreatif, beretika serta bertanggungjawab, di samping menjadi warga digital yang bijak.

Pada masa sama, beliau menegaskan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan USM menerusi pelbagai kemudahan sokongan termasuk bantuan kewangan, zakat, penginapan, kesihatan, kaunseling serta sokongan kepada mahasiswa orang kurang upaya (OKU) dan Siswa SULUNG.

Menurutnya, latar belakang dan kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk mencapai kejayaan, justeru pelajar yang menghadapi sebarang masalah digalakkan tampil mendapatkan bantuan supaya peluang melanjutkan pengajian dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pelajar baharu turut memulakan pengajian ketika USM berada di kedudukan ke-128 dalam QS World University Rankings 2027, selain menduduki tempat kelima dunia dan tertinggi di Asia dalam Times Higher Education Sustainability Impact Ratings 2026.

Mengakhiri amanatnya, Abdul Rahman menyeru mahasiswa supaya menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga serta menggunakan tempoh pengajian di USM untuk membina ilmu, nilai dan keberanian dalam membawa perubahan selaras dengan motto universiti, ‘Kami Memimpin.’

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa / Mohd Faris Darwisy Rafiq