Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

PALAPES USM RAIKAN 130 PEGAWAI MUDA SEMPENA PENTAULIAHAN DIRAJA KE-44

USM PULAU PINANG · 14 Oktober 2026

Seramai 130 pegawai muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Malaysia (USM) daripada tiga cabang perkhidmatan, iaitu Darat, Laut dan Udara, diraikan sempena Majlis Makan Malam Rejimental PALAPES USM Tahun 2026 di Hotel Shangri-La Rasa Sayang, di sini baru-baru ini.

Kesemua pegawai muda berkenaan berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Pentauliahan Diraja PALAPES ke-44 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis, awal September lalu.

Naib Canselor merangkap Komandan PALAPES USM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata PALAPES bukan sekadar medan latihan ketenteraan, malah berperanan penting dalam membentuk jati diri, disiplin dan semangat patriotik dalam kalangan mahasiswa.

Beliau turut menyeru pegawai muda supaya terus menghayati slogan PALAPES, “Sentiasa Memimpin”, serta memanfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang latihan dalam perkhidmatan, kerjaya dan kehidupan bermasyarakat.

Menurut beliau, keterampilan, ketahanan fizikal dan mental serta pengalaman kepimpinan yang diperoleh menerusi PALAPES menjadi nilai tambah dalam membentuk graduan yang bersedia memikul amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.

Majlis turut meraikan pegawai, staf dan jurulatih yang bertukar keluar daripada PALAPES USM, selain menyaksikan penyampaian anugerah kepada Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan, Pegawai Kadet Terbaik Akademik dan Pegawai Kadet Terbaik Ketenteraan bagi setiap cabang PALAPES Darat, Laut dan Udara.

Sijil penghargaan turut disampaikan kepada Pasukan KIK Hibrid PALAPES Laut dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM atas penghasilan dua projek inovasi, iaitu Fast & Easy Waterproofing (FEW) dan Modul Penghasilan Cendawan Tiram Kaedah MycoBoost.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Timbalan Komandan PALAPES USM merangkap Yang Dipertua Majlis Makan Malam Rejimental, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim; Pegawai Memerintah KD Sri Pinang, Komander So Lea Kun; serta Ketua Jurulatih PALAPES USM, Mejar Muhammad Nor Syawal Bachtiar.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara minum ucap selamat, nyanyian lagu ATM, tayangan montaj, pemotongan kek pentauliahan dan persembahan, dengan iringan Platun Tambor Rejimen Ke-3 Kor Armor Diraja.

Penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen USM dalam membangunkan mahasiswa secara holistik melalui pembentukan disiplin, kepimpinan, jati diri dan semangat patriotisme bagi melahirkan graduan yang bersedia berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Teks: Kapten Dr. Lim Chee Ann, Ketua Cawangan Latih PALAPES USM
Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM